Aku dan Labbaikallah

Friday, September 4, 2015

Di musim haji, berkumandangan lafaz talbiah, terutama di TV Alhijrah. Talbiah tersebut diulang-ulang saban hari. Lafaz tersebut benar-benar dekat di hati. Sewaktu di Madinah, kami sudah mula mengenakan pakaian ihram, dua helai kain putih yang diikat dengan tali pinggang. Setakat itu sahaja. Dua helai kain. Dari Madinah ke Makkah, perjalanan dengan bas mengambil masa 6 jam. Kami bermiqat di Bi'r Ali. Mutawif berpesan banyakkan bertalbiah. Justeru kami bertalbiah berjemaah di dalam bas. 


Sering diceritakan perihal orang yang tiba di Makkah, terutama di dalam majalah Mastika. Bermacam-macam pengalaman aneh mereka lalui. Aku sedar diri penuh dosa. Belum tentu apa yang menanti di Tanah Haram Makkah nanti. Aku pasrah dan berserah. Aku ucapkan talbiah, Kami datang ya Allah, kami datang. Hati sedih meninggalkan Rasulullah, namun berdebar menanti bahagian yang bakal diterima. Hati juga teruja hendak melihat Kaabah yang mulia.


Kami terus bertalbiah, namun dalam perjalanan yang panjang itu, kami terlelap juga. Namun bila tersedar kembali, lekas-lekas kembali bertalbiah sehingga tiba kami di Makkah dan selesai dengan umrah yang pertama.


Talbiah di Tv Al Hijrah benar-benar menjelmakan kepasrahan, kesederhanaan dan debaran perjalanan menuju Makkah. Labbaikallahumma labbaik. Mudah-mudahan kami diterima lagi sebagai tetamu haji dan umrah di Tanah Haram nanti.


0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.