Aman Dikau Di Sana, Nenda.

Sunday, October 19, 2014

0 comments
Nendaku Hajjah Zainab Binti Idris, ibu kepada ibuku. Beliau dijemput pulang ke hadrat Allah tanggal 6 Ogos 2014. Aku cucunya yang sulung.

Selepas kematian suaminya pada tahun 1980, beliau membesarkan 6 orang anak sendirian di Kampung Tanjung Bidara, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak. Sewaktu mudanya beliau membanting tulang di bendang.

Pada lewat usianya baru Opah belajar tajwid. Walaupun begitu, beliau kemudian mengajar anak-anak kampung membaca Quran. Ia contoh bahawa tiada yang lewat dalam mengejar kebaikan. Opah juga aktif mengikuti acara marhaban. Allahyarham Tok dikatakan sering mengusik Opah, "Dibagi orang 5 duit (5 sen) pun dia pergi marhaban." Opah di usia tuanya tinggal di Kota Damansara. Dalam kesibukan manusia di Kota Damansara, beliau dijumpai oleh insan-insan yang menghidupkan marhaban di kota raya. Beliau dibawa orang ke hulu ke hilir marhaban di kota. Untuk beberapa tahun sebelum pergi, opah tak pernah tinggal solat malam.

Opah insan hebat. Tidak berpendidikan tinggi, tidak juga berjawatan besar. Namun ke mana sahaja opah pergi, beliau akan disambut hebat, seperti menteri melawat kawasan. Kami menggelarnya "Queen Mother". Opah diceritakan tak lokek menolong orang, meskipun bukanlah orang yang senang atau punya kuasa. Opah juga sangat prihatin. Kalau berkenalan dengan seseorang, akan sentiasa beliau ingat, walaupun kenalannya itu budak kecil. Bukan setakat kenal, namanya pun akan beliau ingat. Beliau sangat manja bukan setakat dengan adik-adiknya, malah adik iparnya juga, Amat pelik melihat hubungan akrab di antara beliau dan iparnya.

Opah insan yang sangat hebat, Aku sendiri rasa tak mampu mencapai apa yang opah capai, dari segi ibadat mahupun pergaulannya sesama manusia. Kami berbangga menjadi cucunda kepada insan tabah dan hebat ini. Kami juga berbangga dapat menguruskan sendiri Opah ke tempat tinggal sementara, sebelum beliau dibangkitkan kelak. 

Along sangat hormatkan opah. Along akan sentiasa ingat teguran Opah, Along akan sentiasa ingat bila Opah sibuk-sibuk nak potongkan bawang, sayur dan siang ikan bila Along nak masak dan tolong cuci kuali bila Along dah habis masak. Opah selalu marah Along sebab tak kahwin-kahwin. Bukan Along sengaja. 

Along akan cuba jadi cucu yang soleh, mendoakan kebahagian Opah di sana. Semoga aman Opah di sana dan semoga kita berjumpa lagi Opah di syurga di sisi Nabi kita.



Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.