Pelajaran dari Ibadurrahman

Saturday, March 22, 2014

Allah ada menceritakan mengenai segolongan dari hambaNya. Sang Pencipta menggelar mereka itu ”Ibadurrahman” – yang bermaksud hamba-hamba kepada Tuhan Yang Maha Pengasih. Sifat-sifat mereka disebut dalam Surah Al Furqan, bermula dari ayat 64 sehingga ayat 77.

Suka aku kupas beberapa sifat golongan istimewa itu.

PERIHAL BERHADAPAN DENGAN ORANG-ORANG JAHIL

”Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (Yang Maha Pengasih), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang jahil berkata kepada mereka, mereka mengucapkan ucapan ”salam” (selamat). (Furqan: 64)

Kesantunan orang Malaysia secara amnya dan orang Melayu khasnya kini kian terhakis. Dahulu bicara orang cerdik pandai sahaja diberitakan atau dipedulikan. Kini sesiapa sahaja bebas memberi pendapat, menjadikan ia ”informasi maklumat” di alam maya. Samada maklumat itu benar-benar berguna atau sebaliknya, ia mempunyai nilai yang setara. Media mengungkap apa sahaja tulisan yang boleh disensasikan. Ilmuwan yang dahulu hanya berhadapan persoalan dari insan yang benar-benar mahu tahu, kini menggalas tugas menangkis pendapat-pendapat dangkal.

Kerapkali aku ditanya  (meskipun aku bukan ilmuwan) mengenai kenyataan-kenyataan yang tidak punya nilai intelek yang tinggi. Aku jawab, biarkanlah mereka, bukan kata mereka yang jahil itu akan diikuti orang. Mungkin kadang-kadang ada kebodohan yang mendapat tempat di arus perdana, menjadikan aku yang bukan ilmuwan juga terpanggil memberi komen, dengan harapan kebatilan tidak terus kekal bertakhta. Namun, aku sedar bahawa aku juga perlu lebih berubah. Menjadi lebih santun dan kerap mengucapkan ”semoga mereka selamat” bak ungkapan Ibadurrahman.

PERIHAL MENGINGATI HARI KEMUDIAN

Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata- Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. Sesungguhnya ia adalah seburuk-buruk tempat menetap dan tempat tinggal. (Furqan: 65-66)

Hari-hari aku tidak lari dari berbuat dosa...
Aku juga selalu lupa hakikat diri aku ini berdosa.
Bila teringat perihal syurga, bagaimana hendak sampai ke sana, sedangkan aku berdosa.
Tak juga rela aku masuk neraka.
Bila terkenang sesekali, lemah aku rasa.
Syair Abu Nawas atau yang dikatakan milik Rabiah Al Adawiyah menjadikan aku lebih terasa.
Katanya-

”Wahai Tuhanku, hambaMu yang penuh maksiat ini datang kepadaMu
Mengaku akan sekalian dosa, dan dengan itu dia telah berdoa kepadaMu
Andai Engkau ampunkan, maka hanya Engkau yang layak berbuat begitu
Jika Engkau tolak, maka ke mana lagi dapat kami merayu selainMu?”

Masa berbuat dosa aku lupa,
Namun kemudian bila merayu, kepada Engkau juga.
Ia kemanusiaan wahai Tuhan, aku harap diampunkan aku selalu.
Lihatlah aku, seorang yang lemah, hanya hamba di sisiMu.

HAL BUAT-BUAT PEKAK DAN BUTA

Dan juga mereka apabila disebut ayat-ayat Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya (buat-buat) pekak dan buta. (Furqan: 73)

Aku renung diri. Kalau hendak dikatakan tak cukup belajar, sudah belajar macam-macam. Kalau nak dikata tiada yang mengingatkan, di TV pun disiarkan peringatan yang bermacam-macam, tetapi ada masanya masih lagi tak sedar-sedar. Ayat ini seakan-akan menegur, tatkala berbuat dosa seakan-akan tak pernah mendengar ayat Allah, juga seakan-akan tidak pernah membacanya....

PERIHAL KAHWIN DAN MENCARI PASANGAN

Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa. (Furqan: 74) 

Isteri bagaimana yang nak dicari? Cantik? Kaya? Berpendidikan? Punya status? Sopan santun?. Kriteria yang susah untuk aku perikan. Jawapan aku seperti yang terangkum dalam ayat di atas – Qurrata a’yun. Terjemahan yang lebih mudah – SEJUK MATA MEMANDANG atau APPLE TO THE EYES. Rupawan macam model sekalipun, kalau bangun tidur nampak muka teringat kos alat solek yang beribu pun tak guna.  There is a saying - "Beauty lies in the eyes of the beholder." Pastinya aku berkehendakkan seorang yang solehah J

Janji Allah pasti, buat siapa yang berdoa, akan dikabulkan. Pesan tuan guru, janji Allah bahawa wanita-wanita (bini-bini dalam Bahasa Brunei) baik, buat lelaki-lelaki baik. Maka mulakan dengan diri sendiri dahulu kata tuan guru, jadi baik sebelum bertemu dengan jodoh yang baik.

Sekadar itu, titipan berkenaan sebahagian sifat Ibadurrahman. Sehingga lain masa.



0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.