Musafir ke Brunei

Tuesday, December 10, 2013



4 Disember 2013, 8.30 a.m.- Aku memulakan perjalanan dari Miri menuju ke Bandar Seri Begawan dengan menaiki kereta. Buat mereka yang ingin memandu kereta dari Miri ke Brunei, pesanku, pastikan pasport ada, minyak kereta diisi penuh (sukar bagi kenderaan luar mengisi minyak di Brunei. Hanya stesen minyak tertentu yang membenarkan kereta Malaysia mengisi minyak dan harganya tidak disubsidi). Jangan lupa bawa RM10 untuk bayaran tol sebelum memasuki kawasan Imigresen di Miri dan $3 Brunei Dollar untuk bayaran tol di Sungai Tujuh di sebelah Brunei (jumlah bayaran tol pergi balik RM20 + $6 Brunei Dollar). Pastikan juga anda ada maklumat lengkap kenderaan yang dipandu (no enjin dan chassis) kerana kita dikehendaki mengisi pas di kawasan Kastam Brunei.







Sebaik sahaja masuk ke tanah Brunei, papan tanda yang pertama ialah ingatan berbangga menggunakan Bahasa Melayu. Tulisan jawi dan zikir terletak di merata-rata. Papan tanda yang jelas mengarahkan ke Bandar Seri Begawan meyebabkan aku tidak punya masalah untuk sampai ke sana. Paling mudah ialah dengan menggunakan Lebuhraya Jerudong. Hadlajunya 100km/jam jika tidak hujan. Kalau hujan 70km/jam.


Talian internet terhenti sebaik sahaja melepasi sempadan Brunei (melainkan roaming diaktifkan). Maka yang memiliki telefon android bolehlah memuat turun aplikasi Papago atau save google map untuk kegunaan offline agar tidak sesat larat di Brunei nanti. 

Dua jam perjalanan bermula dari Kuala Belait, Seria, Lumut, Tutong, Jerudong dan akhirnya Bandar Seri Begawan. Aku menghala ke Jalan Gadong-Beribi, sesat seketika sebelum tiba di Medan Selera Sumbangsih Mulia, di mana segalanya bakal bermula...



BAHAGIAN KEDUA


Perbagai juadah dan makanan seharian Brunei di jual di Medan Selera Sumbangsih Mulia. Pada pengamatan aku, terdapat banyak persamaan di antara masakan Brunei dan Malaysia. Aku terus ke gerai Soto Kitani, tempat ibu sahabatku Hisyam meniaga. Aku menjamah sheppard pie dan milkshake. Sheppard pie itu sangat sedap. Selepas itu menuju ke masjid terbesar di Brunei, Masjid Jamie Asr Hassanil Bolkiah.

Menara Masjid Jamie Asr Hassanil Bolkiah adalah binaan tertinggi di Brunei. Ia umpama Masjid Negara di Malaysia. Menurut kawanku Wafiy, "Bangunan di Brunei nda boleh limpas masjid." "Limpas tu apa," tanya aku. "Tidak boleh melepasi (lebih tinggi.)" Kubahnya dibuat dari emas. Di luar masjid ada taman yang cantik. Terdapat juga laluan masuk khas buat Kebawah DYMM Sultan Brunei. Dalamnya berhawa dingin. Tidak boleh bergambar di dalam, namun selepas solat jumaat, ramai yang mengambil gambar dan aku tidak ketinggalan berbuat yang serupa. Satu perkataan setelah melihat masjid itu - MAJESTIC.

Selepas menunaikan solat zohor, aku dan Hisyam ke Kampung Rimba untuk menjemput Wafiy. Ibu Wafiy tidak sempat untuk menghantarnya, lalu kami ke rumah untuk menjemputnya. Setiba kami di hadapan rumah, aku berhenti jauh dari rumah dengan harapan tidak dapat dilihat oleh orang tua Wafiy (segan). Tiba-tiba ada kereta di belakang hendak lalu dan kereta aku  menghalang laluannya. Kereta itu milik ayah Wafiy (kuang kuang kuang). Kantoi sudah aku. Aku pun turun dari kereta menyapa ayahnya, tanpa menyedari kejutan yang bakal aku terima secara bertimpa-timpa.

SIAPA HISYAM DAN SIAPA PULA WAFIY?

Kisah panjang perjalanan aku bermula dengan kekagumanku terhadap satu qasidah yang bertajuk Ya Hadi Sir Ruwaidan. Di dalam suatu majlis Syeikh Nuruddin Al-Banjari, beliau sendiri mengetuai dendangan qasidah itu, tidak seperti selalu di mana ia akan dikumandangkan oleh anak-anak muridnya. Terdetik di hatiku, mesti istimewa qasidah ini. 



Aku mencari lagi dendangan Ya Hadi Sir Ruwaidan dan Youtube menemukan aku dengan dendangan anak muda Brunei dari kumpulan An-Naghom yang memukau aku pada kadar serta merta.(Kisahnya ada aku nukilkan di sini) Kumpulan ini menjuarai Pertandingan Tausyeh Radio Televeisyen Brunei 2011 dengan alunan indah qasidah itu. Aku kemudian add ahlinya di facebook, dan perkenalan kami bermula.


Qasidah Ya Hadi berkisar mmngenai perjalanan rombongan ke Madinah dan kecintaan ahli rombongan itu kepada junjungan besar SAW. Sewaktu menunaikan Umrah dalam dalam bulan Jun 2013, debaran dan keterujaan menjejak bumi Madinah aku isikan dengan dendangan qasidah itu. Ia sangat bermakna. Perjalanan berangkat meninggalkan Madinah juga aku dendangkan qasidah itu dengan linangan air mata, ya hadi sir ruwaidan-wahai sang pemandu, bawalah perlahan-lahan. Ke atas junjungan Baginda selawat dan salam yang berterusan. (Klik sini untuk kisah perjalanan aku ke Madinah)


Kebetulan aku ke Miri menziarahi saudara di sana, maka aku tambahkan jadual perjalananku ke Brunei, untuk bertemu artis antarabangsa pojaan hatiku.

Sebenarnya rancangan asal aku di Brunei agak ringkas. Aku akan mendaftar masuk hotel, kemudian berjumpa dengan Hisyam dan Wafiy untuk minum sebentar, sekiranya mereka ada kelapangan dan aku akan berjalan sendiri melihat-lihat Bandar Seri Begawan. Namun rancangan itu jauh meleset. Sangat jauh meleset...


BAHAGIAN  KETIGA



Kejutan dan Jalan-jalan
Setiba di rumah Wafiy, aku dan Hisyam menunggunya usai solat. Sementara itu aku berbual dengan bapa Wafiy. Dengan tidak semena-mena, beliau mengunjukkan suatu warta kerajaan. Ia adalah Kanun Jenayah Syariah yang bakal menguatkuasakan hudud di Brunei. Aku membelek-belek ianya seketika. Setelah aku belek sekali imbas, aku pulangkan kembali. "Eh, ambillah, kebetulan ada dua,"ujar ayah Wafiy. Aku masih ingat aku pernah komen pada satu gambar milik ibu Wafiy di instagram berkenaan hal ini dan aku diberi satu naskhah. Gembira aku tidak terkata!!
Kanun Jenayah Syariah & Ibu Wafiy (TQ auntie)

Sesudah Wafiy siap, aku ditegur lagi oleh ayah Wafiy, "Pakai kereta ini (sambil menunjuk kereta miliknya), kereta Malaysia susah nak isi minyak. Hanya stesen minyak tertentu sahaja boleh isi minyak dan harga mahal kerana tiada subsidi." Aku kaget dan terpaku. Malu aku tidak boleh disorok-sorok. Dengan berat hati dan malu yang tak terkira, aku tukar juga kereta. Aishh budak-budak ni!!!!! Kami kemudian menuju ke hotel Jubilee tempat aku menginap di Jalan Kianggeh.

Selepas check in hotel, kedua mereka mengajak aku melihat rehearsal pertandingan tausyeh (lagu dakwah bahasa arab) di Radio Televisyen Brunei (RTB). Pertandingan Tausyeh ini diadakan setiap tahun bermula 2003 dan sambutannya kalau di Malaysia adalah seperti rancangan Akademi Fantasia. Tahun ini An Naghom (kumpulan Hisyam dan Wafiy) tidak berjaya ke peringkat akhir. 

Studio Radio Televisyen Brunei
Aku sempat bergambar bersama keduanya di hadapan studio RTB, tempat mereka menjuarai pertandingan Tausyeh pada tahun 2011, tempat bermula segalanya.

Bergambar di hadapan Studio, tempat bermula segalanya...

Selepas itu kami ke Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin (Masjid SOAS). Ia terletak di sebelah Kampung Air yang terkenal. Sultan Omar Ali Saifuddin adalah ayahanda kepada Sultan Brunei sekarang, yang telah meletakkan jawatan untuk memberi ruang kepada anakanda Baginda untuk memerintah. Selepas turun takhta Baginda memakai gelaran “Begawan”. Kota yang dahulunya dikenali sebagai Bandar Brunei ditukar nama kepada Bandar Seri Begawan, bersempena gelaran Baginda. 
Masjid Sultan Omar Ali Saifufuddin (Masjid SOAS)

Selepas solat asar di Masjid SOAS, kami pergi mengambuy (makan ambuyat) di Restoran Aminah Arif yang terkenal di Bandar Seri Begawan. Ia adalah makanan tradisional Brunei, diperbuat dari tepung sago. Ia kenyal, dimakan dengan colekkan sambal binjai beserta lauk-lauk. Gulai pucuk pakunya enak. Di Kuching dahulu aku pernah merasa, namun di sana dipanggil “linut”. Di Brunei, lauknya lebih banyak dan nikmatnya berganda. Aku terkial-kial menggunakan chopstick, digelakkan oleh dua orang kawan aku, lalu aku guna garpu sahaja. 
Restoran Aminah Arif


Menu Ambuyat


Gambar sebelum mengambuy

Rancangan asal perjalanan aku ke Brunei adalah bertemu dan melepak sebentar sahaja bersama si Hisyam dan Wafiy, dan lepas itu aku akan pusing berjalan sendirian. Namun setiba di sana, plan sudah bertukar. Keduanya bertanya- boleh mereka tinggal di hotel sekali? Jawapan aku- SUDAH PASTI BOLEH! Untuk itu, kami ke rumah Wafiy untuk ambil baju dan charger telefon bimbit sebelum solat Maghrib di Masjid Jamie Asr Hassanil Bolkiah. Selepas solat maghrib pula kami ke Medan Selera Sumbangsih Mulia untuk Hisyam mengambil bajunya pula. 
Masjid Jamies Asr Hassanil Bolkiah


Laluan masuk KDYMM Sultan Brunei
Kami solat isya' di Masjid As Saliheen. Kata Hisyam masjid dia hendak bawa aku ke Masjid tempat dia qiamullail. Subhanallah masjidnya sangat cantik, Di dalamnya ada taman. Pintu masuk tandas dan paip wudhu yang sangat mewah mengangkat masjid ke martabat yang selayaknya. Habis solat Isya’, aku bersalam dengan Imam dan berpeluk sekali. Ia memberi perasaan yang menenangkan buat musafir di bumi asing. 

Tempat berwudhu Masjid As Saliheen


Taman dalam masjid


Kepala paip (nampak mahal)
Dalam Masjid As Saliheen



International Convention Centre
Selepas solat Isya’ kami menuju International Convention Centre. Wafiy ada rehearsal marhaban untuk Majlis Pertandingan Tilawah Quran Belia ASEAN. Dia mengajak aku turut sekali. Mengapa tidak kan? Di sana aku berjumpa dengan ahli An Naghom yang lain. Namun kesal aku sebab tidak sempat bergambar bersama.
Laluan masuk

Lapar kemudianya membawa kami ke Times Square. Di sana kami menjamah sushi di Escapade. Tempahan dibuat bertolokkan darjah kelaparan kami. Akibatnya dalam pertandingan men v foods, kami tewas. Sushi kami bungkus bawa balik ke hotel. Sebelum tidur, Wafiy menyampaikan khabar keluarganya ada majlis tahlil pada keesokan harinya di kubur. Esok sahajalah kita putuskan bagaimana kata aku.


Times Square
Wajah Lapar


Menunaikan hak perut

BAHAGIAN TERAKHIR

Tahlil dan Ziarah Ke Kubur
Awal keesokan harinya, di pagi Jumaat yang indah, Wafiy mengajak aku dan Hisyam untuk mengikutnya ke tahlil ahli keluarganya. “Mama, nenek dan adik-adikku sahaja,” kata Wafiy. Hisyam pula menyokong dan mengatakan dia pun pernah pergi. Aku yang malu ni pun ok kan sahaja.

Tiba-tiba perjalanan kami bukanlah menuju ke rumah Wafiy. Ia rumah ibu saudaranya dan ramai pula jemaahnya. Sekali lagi aku malu. Di kalangan saudara Wafiy itu ada pakciknya yang pernah menyambung pengajian PHD di UIA. Kami berbual-bual sebelum berangkat ke kubur untuk tahlil. Aku dilayan ibarat ahli keluarga mereka sendiri dan ia mengakibatkan aku bertambah malu.



Tahlil di Kubur. Ia mengingatkan kepada mati


Usai tahlil kami makan pagi dan sesudah itu menuju ke Times Square sekali lagi, kemudian ke hotel untuk check out sebelum ke Masjid Jamie Asr Hassanil Bolkiah untuk solat jumaat.Sesudah solat jumaat, kami bersiar-siar sebelum mengambuy sekali lagi di Restoran Aminah Arif.



Makan Ambuyat di Restoran Aminah Arif 

Aku sekali lagi dikejutkan bahawa untuk sesi ambuyat kali ini, ahli keluarga Wafiy akan turut serta. Arghh, malunya aku. Hari sebelumnya kami minta set untuk dua orang. Kali ini dengan muka tidak malu aku bisik pada Wafiy- set tiga orang! Ayah Wafiy pun ada. Keramahan mereka membuatkan aku rasa selesa.


Usai mengambuy, kami ke kedai cenderamata. Sebelum beredar, Hisyam hendak kembali ke kedai untuk membeli air dan kudapan. Kami kemudian menuju ke Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk solat asar. Sempat lagi kami melalak lagu Siapa Di Hatimu- Ekamatra dan Bayangan Gurauan -Mega. Di Masjid UBD, Aku berpeluang menyaksikan majlis pernikahan yang berlangsung di sana. Selepas solat asar, mereka kemudian membawa aku melihat-lihat UBD.



Di hujung perjalanan aku, aku meminta budak dua orang itu menyelesaikan hutang. Mereka terpinga-pinga. Aku kata, “Wahai driver bawa slow-slow (terjemahan kepada Ya Hadi Sir Ruwaidan).” Kemudian baru mereka faham hutang yang aku maksudkan.




Maka dipersembahkan suatu persembahan live di dalam kereta Nissan Sunny dari artis antarabangsa kegemaranku secara eksklusif untuk aku seorang. Sangat istimewa. Qasidah itu, dengan izin Allah, menjadi sebab berlaku pertemuan kami di Brunei. Aku terharu dan gembiranya tak dapat digambarkan dengan kata. 

Aku tiba di rumah Wafiy dan kembara Brunei aku juga tiba di penghujungnya. Aku pun bergambar bersama artis antarabangsa kegemaran aku. Mama Wafiy pun turut serta. Kami menyampaikan ucapan perpisahan. Aku sampaikan buah tangan yang aku bawa dari Malaysia. Rupa-rupanya Hisyam telah membeli buah tangan jua pada masa dia kata hendak beli air dan kudapan. Arghh, sedihnya aku.





Sebak dan sedih tidak dapat disembunyikan. Bergenang air mata aku. Aku jua nampak di mata mereka. Dengan berat roda kereta berpusing (menggantikan berat kakiku melangkah). 5 Disember 2013, jam 5.30pm aku meninggalkan Bandar Seri Begawan, dua orang yang dahulunya asing yang kini sudah menjadi adinda-adindaku. Keramahan dan kemesraan orang Brunei, terutama kedua artis kegemaran aku dan keluarga mereka menyentuh tempat yang terdalam dalam hati aku.


Postscript



Layanan Hisyam dan Wafiy selama dua hari.membuat aku merasa seolah-olah aku sudah mengenali mereka bertahun lamanya. Aku sedih kerana aku perlu pulang, namun ucapan syukur juga tidak putus-putus atas pengalaman yang sangat bermakna di Brunei. Perjalanan itu, meskipun singkat, sungguh indah dan jauh terlalu menarik dari apa yang mampu aku mimpi dan jangkakan. Segala pujian hanya buat Allah tuhan semesta alam. Semoga pertemuan dan perpisahan kami di bawah rahmat Allah sentiasa.

Perjalanan ke Brunei ini adalah hasil cetusan suatu perasaan rindu dan cinta. Dari pihak aku, aku mencari hiburan yang mengisahkan Baginda SAW, mudahan terubat rindu aku kepadanya. Pencarian itu menemukan aku dengan orang-orang yang menzahirkan rasa cinta dan rindu yang aku cari itu dalam alunan qasidah dan tausyeh mereka. Cinta dan rindu kepada Sang Rasul itu menjadi titik mula kepada terjalinannya suatu ukhuwwah dan pertemuan merentas sempadan negara. Selawat dan salam yang berterusan ke atas Baginda.

"Ya Allah, himpunkan sekalian kami bersama Baginda SAW di hari kami dibangkitkan nanti. Saksikanlah bahawa kami bertemu dan berhimpun mencari redhaMu, demi Rasul yang kami rindui dan kami cintai. Ampunkan sekalian yang terdahulu dari dosa-dosa kami, wahai Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi."


سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين


Mahasuci Tuhanmu, Tuhan yang memiliki sekalian kemuliaan dari apa yang disifatkan (dustakan) dan salam kesejahteraan ke atas para Rasul dan segala pujian hanya bagi Allah, Penguasa sekalian alam. 

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.