A U D I T

Wednesday, October 9, 2013

0 comments
Ketua Audit Negara
Ketua Audit Negara telah pun mengemukakan Laporan beliau kepada DYMM Yang Dipertuan Agong. Beliau dan sekalian pegawai-pegawainya adalah ibarat pegawai penyiasat yang menyiasat ketelusan perbelanjaan Kerajaan. Setiap perbelanjaan akan dinilai dan ditimbang kewajarannya.. 

Pentingnya jawatan Ketua Audit Negara ini dizahirkan dalam tatacara melantik dan memecat seorang Ketua Audit Negara. Jawatan tersebut diwujudkan di bawah Perkara 105, Perlembagaan Persekutuan. Para Menteri dan majoriti penjawat awam di Malaysia memegang jawatan mereka di atas pekenan Yang Dipertuan Agong, atau dalam bahasa mudah, selagi mana Perdana Menteri mahu, kerana Yang Dipertuan Agong bertindak di atas nasihat Perdana Menteri. Kendatipun begitu, Ketua Audit Negara adalah di antara penjawat awam yang tidak boleh dipecat melainkan atas alasan dan cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Hakim-hakim, sesudah mereka dilantik, mereka tidak boleh dipecat kecuali terdapatnya salah laku yang dibuktikan setelah suatu tribunal diwujudkan. Ini bagi menjamin ketelusan dan kredibiliti jawatan-jawatan tersebut.

Laporan beliau menggegarkan banyak pihak. Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dilaporkan di antara jabatan yang menyebabkan ketirisan wang kerajaan. Begitu juga hiburan K-pop yang menelan belanja jutaan ringgit. Sebetulnya akui kesalahan dan mulakan dengan langkah yang lebih berhemah. Namun ada menteri yang mempersoalkan dan mengecam laporan tersebut.

Pengurusan Kekayaan Negara.
Malaysia bumi bertuah yang kaya dengan hasil mahsul. Saya pernah mendengar kisah mengenai seorang ahli perniagaan arab yang berkunjung ke negara ini. Negara arab kaya hanya dengan hasil minyak, namun tanahnya tandus dan kering. Malaysia punya hasil minyak, tanahnya subur, sumber airnya banyak, hutan belantara luas, seharusnya lebih kaya dari negara-negara arab.

Tugas kerajaan selain dari mentadbir negara, ialah untuk memajukan negara. Setiap perbelajaan kerajaan seharusnya dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab. Di England, perbelanjaan Baginda Queen dan ahli keluarganya dikritik secara terbuka. Sebarang kemewahan yang berlebihan  yang ditonjolkan oleh keluarga Baginda Queen akan mewujudkan kontroversi dikalangan penduduk England.

Perjalanan urusan Kerajaan dilaksanakan oleh penjawat awam. Justeru setiap penjawat awam juga seharusnya sentiasa menilai, samada gaji dan emolumen yang mereka terima berpadanan dengan kerja mereka. Mentaliti "sukar dipecat dari kerajaan" harus diubah. "Exit policy" bagi penjawat awam seharusnya dilonggarkan, agar mereka yang cuai dan tidak komited boleh dibebaskan segera. Pemalas dan mereka yang tidak komited tidak seharusnya berterusan disara oleh rakyat jelata. Bukan kerajaan pun yang mohon mereka untuk berkerja, sebaliknya mereka yang memohon untuk kerja. Yang hendak kaya, perkhidmatan awam bukan tempat buat mereka.

Negarawan Di Kalangan Pengasas Malaysia
Pejuang kemerdekaan di awal usia Malaysia hidup dengan serba kekurangan. Tunku pernah tinggal di rumah yang bocor atapnya di Kuala Lumpur. Rombongan menuntut kemerdekaan ke England disara dengan sumbangan wang dan harta oleh rakyat jelata. 

Kesungguhan pemimpin awal Malaysia membina negara juga menyentuh jiwa. Tun Abdul Razak pernah ke suatu kampung bagi memujuk seorang makcik tua untuk berpindah, agar jalan raya dapat dibuat dan gambar tersebut dirakam dan diabadikan untuk tatapan umum. Pegawai Daerah juga terketar-ketar menjawab apabila Tun Razak mendapati laporan pembangunan tidak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku. Tun Dr Ismail pula seorang yang tidak manis mulut, juga tidak begitu disukai oleh rakan-rakan politik, namun kredibilti dan kemampuannya diakui oleh kawan dan lawan. Beliau pernah meletakkan jawatan menteri untuk hidup seperti biasa, namun ketika peristiwa 13 Mei 1969, beliau kembali berkhidmat atas permintaan kerajaan dan demi kepentingan Negara. 

Perkongsian kekayaan Negara
Milikan kekayaan negara yang tidak seimbang bermula dari polisi pecah dan perintah yang diamalkan koloni British. Mereka letakkan orang Melayu di pejabat-pejabat kerajaan, orang Cina di lombong-lombong dan dibiarkan meniaga manakala orang India di estet-estet. 

Kerajaan berusaha menjadikan menyeimbangkan kekayaan di antara kaum ini. Setiap kaum masing-masing merasakan keperluan mereka untuk bersaing bagi mendapat tempat yang lebih baik, sehingga ke suatu tahap di mana persaingan tidak lagi sihat. Satu kaum yang memiliki kekayaan yang besar kini menuntut kuasa pemerintahan, dan kaum asal dan peribumi pula hanya melaung-laungkan slogan kekayaan harus dikongsi sama rata, sedangkan rasa malas dan rasa selesa masih berakar umbi dalam diri mereka. Agenda meredakan ketegangan di antara kaum ini secara tidak langsung melambatkan pertumbuhan negara. Masa dan wang dibazirkan untuk "unnecessary politic". Parti yang memerintah juga tidak dapat berfungsi dengan baik kerana di samping membangunkan negara, mereka juga perlu mengekalkan sokongan politik. 

Semoga suasana ini akan berubah. Semoga rakyat dan pemimpin akan turut berfikir apa yang mereka boleh buat untuk negara, bukan sekadar apa yang rakyat akan dapat dari kerajaan yang memerintah dan bukan juga apa yang pemimpin akan dapat bila mereka memerintah. 
Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.