Berdagang dengan Allah - Kisah Hijrah Suhaib Ar Rumi.

Sunday, July 28, 2013

Ada seorang sahabat Baginda SAW. Namanya Suhaib Ar-Rumi. Beliau orang arab, namun pernah ditawan dan kemudian membesar di Rom. Kebetulan juga rupanya mirip orang Rom. Maka beliau digelar orang Ar-Rumi (yang dinisbahkan kepada orang Rom, seperti tulisan Rumi- ianya tulisan yang digunakan orang Rom). Dia kemudian menetap di Makkah dan beriman dengan Baginda SAW.

Al-kisah, beliau kemudian hendak berhijrah. Hijrah beliau berlaku sesudah hijrah Baginda SAW. Ketika beliau hendak berhijrah, musyrikin Makkah telah menghalangnya. Lalu dia berkata,

"Wahai orang-orang Qurays, kamu semua tahu aku adalah antara pemanah terbaik di kalangan kamu dan demi Allah kamu semua tidak akan dapat menangkap aku, melainkan akan aku panah kamu semua dengan setiap panah yang ada pada aku, kemudian akan aku hayun pedang yang ada pada kedua tanganku sehabisnya dan sesudah itu kamu buatlah apa yang kamu mahu. (Namun) sekiranya kamu mahu, akan aku tunjukkan kepada kamu semua harta-hartaku dan simpananku di Makkah, selepas itu kamu semua hendaklah meninggalkan aku (dari diganggu)."

Lalu mereka (musyrikin Quraisy) berkata, "Baiklah (seperti yang demikian)."

Lalu Suhaib berbuat seperti kemahuan Quraisy, memberitahu di mana tempat-tempat hartanya. Dia sesudah itu dia pergi berhijrah ke Baginda SAW di Madinah. Apabila Baginda SAW mengetahui Suhaib telah tiba di Madinah, Baginda SAW bersabda, "Telah untung dagangan Abu Yahya (gelaran Suhaib), telah untung dagangan itu." Suhaib terkejut kerana tiada sesiapa pun mengetahui peristiwa yang berlaku di antara beliau dan musyrikin Mekah, lalu beliau berkata, "Wahai Rasulullah s.a.w tidak ada sesiapa yang mengetahui kisahku melainkan Jibril a.s telah mendahuluiku (dan menceritakan kepadamu)."

Apa yang dikerjakan Suhaib itu mendapat pujian dari Pemerintah Mutlak 7 petala langit dengan firmanNya-

. وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ 
 Dan di kalangan manusia itu ada yang menjual dirinya demi mencari keredhaan Allah, dan Allah itu amat belas kasihan kepada hambaNya (Surah Al Baqarah: 207)

Menurut Ibnu Abbas R.Anhuma, Anas R.A, Said Bin Musayyib, Abu Uthman An-Nahdi, Ikrimah dan segolongan dengan mereka bahawa ayat 207 Surah Al-Baqarah telah diturunkan berikutan apa yang terjadi kepada Suhaib Ar-Rumi. (rujukan - Tafsir Ibnu Kathir, pada ayat 207 Surah Al Baqarah)

Komentar saya:
*Dagangan Suhaib telah meraih keuntungan. Baginda SAW memperakukannya dan Allah menyaksikan. Dagangan beliau adalah kerugian dunia. Bukan sahaja diserahkan harta yang ada padanya, tetapi dia juga menunjukkan di mana harta-hartanya di simpan, semata-mata untuk berhijrah ke sisi Baginda SAW. Allah menyaksikan bahawa apa yang dikerjakannya adalah dalam mencari redha Allah. Penyaksian yang diabadikan dalam Al-Quran, untuk kita jadikan renungan.

Pengajaran kisah Suhaib- berhijrah, berubah ke sesuatu yang lebih baik ada kalanya menuntut pengorbanan, seperti meninggalkan sebahagian kesedapan dunia dan juga kenikmatannya. Ia pasti sukar, harganya mahal. Yang nak diserahkan atau ditinggalkan mungkin besar nilainya, atau tinggi kelazatan dan nikmatnya.

Meskipun begitu, usah putus asa.  Yang akan membeli usaha hijrah atau berubah itu adalah Zat Yang Maha Esa. Mulakan dengan doa, memohon untuk berubah, disusuli dengan tindakan, perlahan-lahan. Mudah-mudahan kita beroleh keuntungan seakan apa yang diperolehi Saidina Suhaib Ar-Rumi.

Saidina Anas Bin Malik RA ada meriwayatkan bahawa Baginda SAW pernah bersabda "Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu keberkatan." (Hadith Riwayat Bukhari) Selamat bersahur.

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.