Berdagang dengan Allah - Kisah Hijrah Suhaib Ar Rumi.

Sunday, July 28, 2013

0 comments
Ada seorang sahabat Baginda SAW. Namanya Suhaib Ar-Rumi. Beliau orang arab, namun pernah ditawan dan kemudian membesar di Rom. Kebetulan juga rupanya mirip orang Rom. Maka beliau digelar orang Ar-Rumi (yang dinisbahkan kepada orang Rom, seperti tulisan Rumi- ianya tulisan yang digunakan orang Rom). Dia kemudian menetap di Makkah dan beriman dengan Baginda SAW.

Al-kisah, beliau kemudian hendak berhijrah. Hijrah beliau berlaku sesudah hijrah Baginda SAW. Ketika beliau hendak berhijrah, musyrikin Makkah telah menghalangnya. Lalu dia berkata,

"Wahai orang-orang Qurays, kamu semua tahu aku adalah antara pemanah terbaik di kalangan kamu dan demi Allah kamu semua tidak akan dapat menangkap aku, melainkan akan aku panah kamu semua dengan setiap panah yang ada pada aku, kemudian akan aku hayun pedang yang ada pada kedua tanganku sehabisnya dan sesudah itu kamu buatlah apa yang kamu mahu. (Namun) sekiranya kamu mahu, akan aku tunjukkan kepada kamu semua harta-hartaku dan simpananku di Makkah, selepas itu kamu semua hendaklah meninggalkan aku (dari diganggu)."

Lalu mereka (musyrikin Quraisy) berkata, "Baiklah (seperti yang demikian)."

Lalu Suhaib berbuat seperti kemahuan Quraisy, memberitahu di mana tempat-tempat hartanya. Dia sesudah itu dia pergi berhijrah ke Baginda SAW di Madinah. Apabila Baginda SAW mengetahui Suhaib telah tiba di Madinah, Baginda SAW bersabda, "Telah untung dagangan Abu Yahya (gelaran Suhaib), telah untung dagangan itu." Suhaib terkejut kerana tiada sesiapa pun mengetahui peristiwa yang berlaku di antara beliau dan musyrikin Mekah, lalu beliau berkata, "Wahai Rasulullah s.a.w tidak ada sesiapa yang mengetahui kisahku melainkan Jibril a.s telah mendahuluiku (dan menceritakan kepadamu)."

Apa yang dikerjakan Suhaib itu mendapat pujian dari Pemerintah Mutlak 7 petala langit dengan firmanNya-

. وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ 
 Dan di kalangan manusia itu ada yang menjual dirinya demi mencari keredhaan Allah, dan Allah itu amat belas kasihan kepada hambaNya (Surah Al Baqarah: 207)

Menurut Ibnu Abbas R.Anhuma, Anas R.A, Said Bin Musayyib, Abu Uthman An-Nahdi, Ikrimah dan segolongan dengan mereka bahawa ayat 207 Surah Al-Baqarah telah diturunkan berikutan apa yang terjadi kepada Suhaib Ar-Rumi. (rujukan - Tafsir Ibnu Kathir, pada ayat 207 Surah Al Baqarah)

Komentar saya:
*Dagangan Suhaib telah meraih keuntungan. Baginda SAW memperakukannya dan Allah menyaksikan. Dagangan beliau adalah kerugian dunia. Bukan sahaja diserahkan harta yang ada padanya, tetapi dia juga menunjukkan di mana harta-hartanya di simpan, semata-mata untuk berhijrah ke sisi Baginda SAW. Allah menyaksikan bahawa apa yang dikerjakannya adalah dalam mencari redha Allah. Penyaksian yang diabadikan dalam Al-Quran, untuk kita jadikan renungan.

Pengajaran kisah Suhaib- berhijrah, berubah ke sesuatu yang lebih baik ada kalanya menuntut pengorbanan, seperti meninggalkan sebahagian kesedapan dunia dan juga kenikmatannya. Ia pasti sukar, harganya mahal. Yang nak diserahkan atau ditinggalkan mungkin besar nilainya, atau tinggi kelazatan dan nikmatnya.

Meskipun begitu, usah putus asa.  Yang akan membeli usaha hijrah atau berubah itu adalah Zat Yang Maha Esa. Mulakan dengan doa, memohon untuk berubah, disusuli dengan tindakan, perlahan-lahan. Mudah-mudahan kita beroleh keuntungan seakan apa yang diperolehi Saidina Suhaib Ar-Rumi.

Saidina Anas Bin Malik RA ada meriwayatkan bahawa Baginda SAW pernah bersabda "Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu keberkatan." (Hadith Riwayat Bukhari) Selamat bersahur.

Madinah Munawwarah - Ya Hadi Sir Ruwaidan

Tuesday, July 23, 2013

1 comments
Tanggal 22 Jun 2013, aku memulakan perjalanan menuju ke Tanah Haram. Tiba di Lapangan Terbang Terminal Haji, Jeddah pada jam lebih kurang 4 petang waktu di sana, di sapa dengan hembusan angin panas 52 darjah celcius yang membuatkan muka seakan-akan ditampar.
Ucapan Mengalukan kedatangan di Lapangan Terbang Terminal Haji Jeddah
Kami kemudian menaiki bas, menuju ke Madinatun Nabi, Al-Madinah Al-Munawwarah. Ianya perjalanan yang panjang, mengambil masa hampir 6 jam dari Lapangan Terbang Terminal Haji Jeddah. Kami hanya singgah sekali untuk makan dan solat.

Perasaan aku, berdebar-debar, teruja dan membuak-buak. Aku bakal menjejak bumi yang saban hari aku rindui. Bumi yang dimuliakan dengan persemadian kekasih hati (SAW). Selama ini aku menikmati nasyid "Ya Hadi Sir Ruwaidan- Wahai sang pemandu, bawalah perlahan-lahan". Nasyid yang berkisar mengenai penziarah bumi Madinah serta kecintaan dan kerinduan kepada penghuninya yang paling mulia (SAW) (Klik sini untuk mendengar nasyid Ya Hadi Sir Ruwaidan). Di dalam perjalanan ini, aku dapat mengucapkan nasyid tersebut dengan penuh makna. Aku berdebar-debar.

Tibanya di bumi Madinah jam lebih kurang 12.00 tengah malam. Aku dengan tidak sabar hendak ke Masjid Nabawi, namun ditegah mutawwif. "Kita perlu mandi dan bersiap elok-elok sebelum berjumpa Rasulullah." Aku akur, Naik dahulu ke Hotel Mubarak Silver yang jaraknya 200 meter dari Masjid Nabawi, mandi dan berpakaian cantik. Pada malam tersebut, mutawwif memaklumkan bahawa beliau hanya akan menunjuk jalan ke Masjid Nabawi dan tiada ziarah ke dalamnya. Jemaah-jemaah berhimpun jam 12.30 malam dan kami bergerak ke Masjid Nabawi. 

Setiba di dataran Masjid Nabawi, sayu rasa hati aku. Rancangan untuk menunjuk jalan kini sudah berubah. Mutawwif menambah sesi taklimat berkenaan Masjid Nabawi. Aku cuba mengikut pada mulanya, namun bila masa yang diambil terlalu panjang, kesabaran luput. Aku maklumkan mutawwif aku ingin ke dalam Masjid Nabawi. Pada jam 12 malam sehingga jam 2 pagi, pintu-pintu masuk Masjid Nabawi ditutup melainkan 1 pintu sahaja, yakni Pintu 1,  Bab-As Salam.
Bab As Salam
Aku masuk melalui pintu Bab As Salam dan mencari mimbar. Sabda Rasulullah SAW:
“Diantara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga”- (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Aku terus menerjah ke kawasan yang ada mimbar. Aku masuk sehingga mimbar betul-betul di hadapan aku, namun aku masih ragu, adakah aku sudah di raudhah. Lalu aku menyapa pak arab sebelah "A hazihi Raudhah? - adakah ini raudhah?," tanya aku. Dia menjawab "illal ahmar" sambil menunjukkan karper merah- (ya, selain dari karpet merah." Rupanya raudhah itu luas dan tandanya adalah karpet hijau. Solat pertama yang aku kerjakan di Masjid Nabawi adalah di dalam raudhah. Tak dapat nak dizahirkan betapa aku bersyukur dan gembira aku.
Berada di dalam Raudhah - Taman dari taman-taman syurga
Aku sudah masuk ke Masjid Nabawi, sudah dapat menjejak raudhah. namun debaran  masih belum hilang. Sang kekasih hati sudah terlalu dekat. Aku turut rasa teruja. Perasaan bagai mula-mula berjumpa untuk dating.

Selalunya aku amat menikmati pujian-pujian dan syair-syair yang menyebut kerinduan dan kecintaan kepada Nabi. Qasidah Burdah oleh Imam Busiri, syair badwi yang diriwayatkan oleh Imam 'Utbi di dalam Kitab Al-Azkar Imam Nawawi, semuanya indah dah cantik sekali. Namun ketika aku di Masjid Nabawi, segala pujian, segala madaih, qasidah, syair-syair, bait-baitnya terasa hambar. Ucap mereka itu terasa hilang manisnya, kecuali satu rangkap Burdah Imam Busiri yang berbunyi


أيحسب الصبُ أنّ الحب منكتـــمٌ
Apakah sang kekasih mengira bahwa cinta itu dapat disembunyikan


ما بين منسجم منه ومضْطَّــــــرمِ
Diantara air mata yang bercucuran dan hati yang bergelora.

Aku menuju ke hadapan maqam Rasulullah SAW (bersebelahan dengan kawasan raudhah). Aku melewati maqam itu. Lidah aku kelu. "As-salamu alaika ya Rasulallah." Indah ucapan itu, mengatasi segala syair-syair, pujian-pujian qasidah-qasidah dan sekalin madaih. Aku ulang semahu-mahunya "As-salamu alaika ya Rasululallah." Juga aku ucapkan selawat langsung di hadapan Baginda SAW. Manis sungguh rasa itu. Mengenang pengalaman itu sahaja membuat aku bergenang air mata. Akhirnya dapat juga aku bertamu di tempat bersemadi kekasih hati.
Termpat persemadian kekasih hati, SAW
Mencintai Baginda SAW adalah suatu kefardhuan. Dia lebih aku kasihi dari kedua orang tuaku. Mendengar namanya sahaja membuat aku rindu. Berada di sisinya membuat aku merasa aku memiliki dunia dan segala isinya. Ke atasnya salawat dan salam dari Sang Pencipta.  Demi Allah, aku merindui bumi berkah itu. Bumi yang memberi ketenangan yang tidak pernah aku rasa di tempat selainnya.

Di hari terakhir di Madinah, sesudah solat zohor, aku melawat makam kekasih hati buat terakhir kali bagi ziarah kali itu. Hati mana yang tak sedih meninggalkan kekasih hati yang dirindui saban ketika dan saban hari. Aku tinggalkan jasad mulia itu sesudah menyampaikan salam dari ahli keluarga, sahabat-sahabat dan mereka yang dekat di hati. Aku berdoa semoga kami semua diberi rezeki menziarahi baginda dan untuk aku datang lagi. Allahumma Amin. Terimalah lagi kami menjadi penziarah nabiMu dan tetamu di rumahMu.
Masjid Nabawi - tempat paling tenang dalam dunia
Sewaktu berangkat meninggalkan Madinah, hati aku hiba. Sedihnya tidak terkira. Aku ulang-ulang - Ya Hadi Sir Ruwaidan- wahai sang pemandu, bawalah perlahan-lahan. Di belakang itu ditinggalkan buah hati aku, dan sesungguhnya, dia itu pengubat segala kekusutan hatiku. Himpunkan aku bersamanya di hari kebangkitan nanti.

Kini aku faham kisah kerinduan Tsauban R.A. Benarlah kisah betapa rindunya Saidina Bilal R.A. Aku ini belum pernah bersua muka dengan Baginda SAW, merasa seperti direnggut nyawa ketika hendak pergi (ibarat clash rasanya), bagaimana pula sahabat-sahabat yang mulia yang puas bersua muka dan bergaul dengan Baginda SAW?

Munajatku- Ya Allah, jadikan rindu kami dan cinta ini, sebab diharamkan ke atas kami api neraka...
Jelingan terakhir ke Masjid Nabawi, dari dalam bas
Ya Hadi Sir Ruwaidan, rintihku... (terima kasih adinda Hisyam, Wafiy dan ahli-ahli An Naghom yang lain. Tausyeh kalian akan sentiasa menghidupkan memori ziarah Rasulullah dan Madinah, abadi buat selama-lamanya.)
Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.