Aku Pergi Lagi

Thursday, February 28, 2013


Aku ditakdirkan pergi lagi. Kali ini ke Kuantan. Aku terasa sangat pedih, tidak sepertimana perginya aku dahulu dari bumi Kedah.

Rupa-rupanya banyak jiwa-jiwa yang dekat di hati di sini. Semua itu aku tak sedar sehingga aku diarahkan untuk pergi.

Nik Mohd Yaakob, isterinya dan anakanda Nik Nadia. Mereka ini keluarga yang aku pilih sendiri. Banyak peristiwa hidup aku bersama mereka. Perkenalan dan persaudaraan yang mencecah 7 tahun, penuh dengan suka dan duka. Mereka ini jantung hati aku. Bersama mereka pasti mengubat apa sahaja luka aku di dalam hati. Kedua adinda aku kasihi seperti darah daging aku sendiri. Anakanda Nadia lahir ibarat cahaya yang menerangi bumi. Ya Allah, meninggalkan mereka pastinya tidak mudah, sangat pasti ia tidak mudah. 

Iden, sahabatku, saudaraku, adindaku. Kita selalu bergaduh dan aku juga kerapkali berdoa semoga kita tak berkawan lagi. Tapi ketentuan Allah mendahului kehendak naluri. Allah kekalkan persahabatan dan persaudaraan ini. Mungkin apa yang ada di masa ini masih lagi tidak seperti yang diharapkan. Aku selalu risaukan engkau walau aku hanya berdiam diri. Sekalipun begitu, aku sentiasa ingat engkau dalam doa aku. Pesan tuan guru, ingatan yang paling bermakna ialah ingatan dengan menyebut nama seseorang ketika menghadap ilahi. Engkau sentiasa dalam doa aku.

Amarzaman, Luqman, Muzaini, Hafizie, Fadzil, Edy, Abg Ngah dan Lan Hasan. Semua ini insan yang tak jemu mendengar rintihan aku saat aku memerlukan. Tak tahu bagaimana aku hendak membalas budi baik kalian.

Rakan-rakan sepejabat, anak-anak murid, saudara-mara terdekat yang bermastautin di Lembah Kelang, mereka akan sentiasa dalam ingatan.

Buat rakan-rakan Sekolah Izzuddin Shah, aku sangat berbangga dapat menjadi hos kepada beberapa acara dan majlis makan-makan. Kalian sentiasa dekat di hati aku.

Registry Mahkamah Persekutuan, tempat aku menimba ilmu dan pengalaman. Belajar dari gergasi-gergasi dalam bidang perundangan. Warganya juga pasti akan aku rindu.

Terdapat juga beberapa penyesalan. Aku kesal kerana jarang pulang ke Tapah melawat orang tuaku. Mereka yang dahulunya masih kuat membantu aku berpindah dari Sungai Petani ke Putrajaya, kini sudah tampak uzur. Aku juga kesal kerana malas melazimi majlis-majlis ilmu yang bertebaran di bumi Lembah Kelang. 

Dalam kesedihan ini juga, teringat aku kepada seorang yang dahulunya pernah aku sunting untuk dijadikan suri hidupku. Peribadi yang baik. Namun ujian datang mencuba. Mungkin bukan jodoh kita. Kerap kali terkenang namun apakan daya seorang insan yang bergelar manusia. Urusan hati bukan boleh dipaksa-paksa.

Segala pertemuan adalah dengan izin Allah. Perpisahan juga dengan kehendak dan izinnya. Ya Allah, jadikan aku redha untuk menghadapi ujian yang maha besar ini.

DOAKU
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Ya Allah,
Mereka semua aku kasihi hanya keranaMu ya Allah. Mereka berbuat baik kepada aku ya Allah. Ya Allah, beri mereka sebaik-baik balasan di sisimu ya Allah.

Ya Allah, engkau takkan hampakan doa hamba yang merintih kepadaMu ya Allah. Aku sayang mereka ya Allah, pelihara mereka ya Allah. Jadikan kebaikan mereka kepadaku penghalang kepada segala ujian dan cubaan yang Engkau bakal turunkan kepada mereka ya Allah. Kekalkan persaudaraan dan ukhuwwah kami ya Allah. Jadikan kami berjiran di syurgaMu ya Allah.

Ya Allah, rungkaikan segala permasalahan kami dan jadikan kami hamba-hamba yang hampir kepadaMu ya Allah.

Ya Allah, rahmati dan berkati Nik sekeluarga. Rahmati mereka sentiasa.

Ya Allah, permudahkan urusan Iden. Pelihara hati dan lidahnya. Aku tinggalkan dia kepadaMu ya Allah.

Wahai Tuhan kepada Nabi yang terpilih, kabulkan sekalian hasrat kami.
Engkau ampunkan juga sekalian yang terdahulu dari dosa-dosa kami.
Wahai Tuhan yang maha luas kemuliaannya.

Selawat dan salam ke atas semulia-mulia rasul dan nabi.
Segala pujian yang tertentu hanya milik Allah, penguasa sekalian alam.

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.