Berdamai Dengan Tuhan

Tuesday, January 29, 2013

Rasulullah membawa mesej kedamaian. Baginda berjaya menghentikan persengketaan puak Aus dan Khazraj yang berlarutan selama 140 tahun. Lebih dari itu, penduduk Madinah ini kemudian bersaudara dan menyambut orang-orang Mekah yang berhijrah. Penduduk Madinah ini digelar Ansar, penolong-penolong. Mereka bukan setakat menolong, mereka melebihkan "pendatang" dari Mekah ini, lebih dari apa yang mereka lakukan untuk diri mereka sendiri. Sifat melebihkan orang lain di atas diri sendiri ini digelar itsar إثر . Allah mengabadikan kisah epik ini seperti firmannya;

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. (Surah Al-Hasyr: 9)

Demikian sebahagian dari isi kuliah Habib Ali Zainal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid, pada sambutan Maulidur Rasul 28 Januari 2013. Pesan Habib Ali "Sebelum berdamai dengan jiwa-jiwa manusia, perlu terlebih dahulu berdamai dengan Allah."

Berkenaan isu berdamai, muhasabah buat diri yang sukar memaafkan. Aku memohon kepada Zat yang menggenggam jiwa ini, jadikan aku seorang yang mudah dan sentiasa memaafkan. Pesan Prof Dr Muhaya sentiasa terngiang-ngiang. Untuk mendapatkan inner peace, hati tidak boleh sakit, hati yang tidak memaafkan tidak akan tenang, hati itu sakit.

Ada kata-kata yang menyebut, bila hati diserahkan untuk disenangi, hati itu juga diserahkan untuk disakiti. Maka telahpun segumpal darah milik aku itu diperlakukan dengan tidak selayaknya dan sakitlah ia. Aku tahu hati milik aku itu keras dan aku sedar hati keras itu adalah hati yang tercela seperti disebut Allah;

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (Surah Baqarah : 74)

Dengan kehendak Allah jua segala peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian telah mengambil tempat. Padanya terdapat perkara-perkara yang menyenangkan hati dan menggembirakan. Indah-indah semuanya.

Namun apabila semua mula kelihatan berbeza, mungkin masanya telah tiba. Sebagai misal, ada yang disifatkan sebagai kerahsiaan, namun pandangan aku lebih mirip kepada pendustaan. Ada yang dinisbahkan dengan menjaga hati, tapi aku mendapatinya bermuka-muka dan hipokrasi. Semua ini tidak menyenangkan hati. Sabda Baginda SAW
"Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw bersabda: "Tergolong manusia yang amat jahat,orang yang bermuka dua. Dia datang ke suatu golongan dengan wajah tertentu dan datang ke golongan lain dengan wajah yang lain pula"
Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata, “Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan." Namun apa yang aku rasa tidak lebih dari tafsiran kemanusiaan yang juga tidak lari dari khilaf dan kesilapan. Maka, barangkali aku juga silap. KepadaNya aku memohon keampunan. Tidak aku nafikan aku juga pernah merasa kebaikan. Aku berdoa, semoga kebaikan itu mekar dan terus subur. Aku sangat mengimpikan untuk berhimpun di dalam kebaikan tanpa kepura-puraan. Kepura-puraan yang melelahkan jiwa dan merunsingkan minda. Aku tidak sempurna dan baik. Tapi aku mahu sama-sama jadi baik.

Begitu jua perihal yang kemudian berubah pendirian. Peribadi yang baik. Mungkin ujian yang datang merupakan petunjuk dari Tuhan Mungkin juga ujian itu berakhir dengan kegagalan. Allah jua yang lebih mengetahui akan kebenaran.

Aku beriman bahawa disebalik yang terjadi itu ada kebaikan. Ya Allah, jadikan aku peribadi yang mudah memaafkan. Yang indah-indah, jika ia membawa kebaikan, takdirkan ia buat aku, namun jika indah-indah itu melalaikan dan merosakkan aku, buang jauh-jauh yang indah-indah itu. Aku hanya mahu kebaikan dari-Mu, kebaikan itu yang pasti tidak akan menghampakan. Jadikan aku insan yang tidak hidup dengan menjadi hamba kepada insan lain dan membelakangkan redhaMu demi mencari redha mereka itu. Jadikan kehidupan aku dikelilingi insan-insan yang mengingatkan aku kepadaMu dan kebaikan.

Sudah-sudahlah yang lalu. Aku tak mahu lagi gembira yang begitu. Walaupun hati ini meronta mahu untuk berdamai, namun seperti pesan Habib Ali, sebelum berdamai dengan insan, berdamailah dahulu dengan Tuhan.

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.