Permintaan Seorang Hamba

Thursday, December 20, 2012

Keserabutan disebabkan sesuatu yang terbuku di dalam hati. Apa yang terbuku itu sendiri aku tidak pasti. Semuanya seperti ok ok sahaja. Namun ada lagi yang menjerut hati ini. Soalan apa, siapa, mengapa, jawapan kepada semua itu, aku tidak tahu.

Al-ham dan al-hazn, dua-dua membawa maksud dukacita, resah, dan gelisah. Dulu aku fikir perlu bersebab untuk merasa semua itu. Kini aku sendiri merasa keduanya tanpa sebab. Tiba-tiba sahaja menjengah. Allahumma. Dia pemilik mutlak urusan hati. 

Maka aku bermohon, pelihara diri ini, pelihara hati ini. Ya Allah aku sendiri tidak mampu menjaganya. Engkaulah yang berkuasa di langit dan di bumi. KepadaMu aku bersujud dan menyerah diri. Jika aku diuji kerana ego aku, aku hamba yang menyerah kalah. Aku lemparkan diriku pada belas ehsanMu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyantun. Segala yang di langit dan di bumi tertakluk kepada kehendakMu.

Ya Allah, aku mohon berlindung dengan redhaMu daripada kemurkaanMu, dengan belas ehsanMu dari hukumanMu, aku mohon berlindung denganMu dari diriMu, tidak terhitung aku akan pujian kepada mu, Engkau adalah sepertimana pujian yang Engkau puji ke atas diriMu.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.