Kebergantungan - Hasbunallah Wa Ni'mal Wakil

Friday, December 14, 2012



PERISTIWA PERANG BADAR
Tentera Islam menghadapi tentera musyrikin yang berganda-ganda jumlahnya di dalam Perang Badar. Sang Rasul ditakut-takutkan oleh pembawa berita, dengan jumlah tentera musyrikin yang ramai itu. Namun tentera Islam tidak pula berasa takut, sebaliknya yang terjadi kepada mereka.

Tentera Islam mengucapkan - "Hasbunallah wa ni'mal wakil" Cukuplah bagi kami Allah, sebaik-baik penolong. Sehari sebelum pertempuran bersejarah Perang Badar, tentera Islam telah diberi rezeki "mengantuk". Bagi jiwa-jiwa yang belum tahu nasib hidup dan mati keesokan harinya, untuk mengantuk dan dapat tidur lena adalah sesuatu yang diluar fitrah kemanusiaan. Begitulah "rezeki" mereka. Peristiwa ini diceritakan seperti firmanNya;

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah bagi kami Allah, sebaik-baik penolong." Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredhaan Allah. Dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar. Surah Ali Imran: 173-174

NABI IBRAHIM DI DALAM API
Nabi Ibrahim A.S dilemparkan ke dalam api oleh Raja Namrud yang mengaku dirinya tuhan. Dikatakan Jibril datang menghulurkan bantuan yang kemudiannya ditolak, cukup baginya Allah. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam Sahihnya, Nabi Allah Ibrahim menyebut lafaz yang sama - Hasbiyallah wa ni'mal wakil. Lalu api sejuk atas titah Sang Pencipta seperti yang termaktub di dalam firmanNya-

(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: “Bakarlah dia dan kamu pertahankan akan tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!” Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!" Surah Al-Anbiya': 68-69

HAKIKAT BERSERAH
Dr Said Bouheraoua, pensyarah saya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM, memberi perumpamaan, perihal menyerahkan urusan kepada Allah sesudah berusaha, di dalam konteks kemanusiaan, adalah seperti membuat keputusan yang disokong oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Baik atau buruk yang terbit sesudah berserah, hanyalah timbangan kemanusiaan, yang tidak mengetahui urusan masa hadapan. Allah lebih mengetahui akibat dan pengakhiran bagi sesuatu yang dikerjakan.

Justeru, menyerahkan diri (sesudah berusaha) kepada Zat yang tidak dapat dilihat dan dicapai bukan sesuatu yang mudah. Mempercayai sesuatu yang tidak dapat digapai oleh deria, maka ia adalah sebahagian dari proses BERIMAN. Terkadang manusia terlalu yakin dengan kemampuan diri dalam membuat keputusan, tak kurang juga yang bergantung kepada insan lain. 

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. Surah At-Talaq: 3

Tiada yang mustahil bagi Dia yang menguasai sekalian yang di langit dan di bumi. Ya Allah, jadikan aku dari hambaMu yang sentiasa berserah. Hasbunallah Wa Ni'mal Wakil

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.