Iktibar dari Gaza

Thursday, November 29, 2012

0 comments
Bismillah.

Gaza dibedil, gencatan senjata kemudian menyusur. Aku sendiri tidak kenal mana-mana jiwa dari Palestin, melainkan roomate kawan baik aku di UIA yang bernama Abdul Rahman. Dulu semasa jadi lifeguard di swimming pool UIA, aku dapati orang Palestin lemah lembut dan berbudi bahasa, lalu aku membuat kesimpulan orang Palestin baik-baik orangnya.

Kembali kepada Gaza, sewaktu pulang dari Tampin, Negeri Sembilan, IKIM menyiarkan perbualan dengan koresponden yang berada di Gaza. Pedih hati aku. Mereka saudara aku. Lagu "We Will Not Go Down" oleh Micheal Heart terngiang-ngiang di telinga. Isu Gaza merupakan isu kemanusiaan, yang dilakukan Israel merupakan jenayah kemanusiaan yang paling kejam pada masa ini. David Cameron, Perdana Menteri Britain menyifatkan Gaza sebagai "Open Air Prison".

Allahumma,
Kekejaman kepada haiwan pun sudah cukup untuk menyinggung perasaan aku, apatah lagi yang dizalimi itu manusia dan saudara aku dalam iman. Foto anak-anak kecil yang pergi ke hadrat Yang Maha Esa, anak-anak yang menangisi pemergian ibu bapa, orang tua yang meratapi pemergian zuriat mereka, jiwa aku terusik. Betapa tabah mereka itu. Semoga Allah menyelamatkan saudaraku dari terus dizalimi. Janji Allah dan RasulNya adalah benar. Akan tiba saat Yahudi diburu dan tatkala mereka bersembunyi, batu akan berkata sepertimana sabda Baginda SAW. Kebenaran pasti akan tiba dan kebatilan pasti akan hancur.
Dari Abu Zar Al-Giffari, bahawa sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Lihatlah kepada mereka yang berada di bawah kamu supaya (dengan kerana itu) kamu membiasakan diri merasa syukur terhadap nikmat Allah (a.w), dan janganlah kamu melihat orang yang berada di atas kamu (dengan kerana itu) nanti kamu akan menjadi tidak bersyukur terhadap pemberian Allah kepada kamu.’ (Hadith Riwayat Ibn Hibban)
*Ada ketikanya, aku diuji dengan pelbagai ujian yang menguji kesabaran. Aku merasa jiwa disakiti dengan tidak selayaknya. Aku juga tersangat sedih dengan apa yang menimpa. Namun aku membayangkan diri aku berdiri di dalam sebuah "Reality Show", yang mana aku perlu menceritakan kisah sedih aku untuk dinilai oleh penonton. Aku berdiri menceritakan kisah aku, dan sebelah aku seorang adik perempuan dari Gaza yang baru sahaja hilang bapa, abang dan tempat tinggal, maka bukan sahaja aku akan kalah, malah akan di "booo" oleh penonton. 

Meskipun begitu, aku memohon sepertimana doa Ummul Mukminin Ummu Salamah R.A, "Ya Allah, sesungguhnya aku dari Mu dan kepada Mu aku kembali. Ya Allah, berikan ganjaran di dalam musibah ini, dan gantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik." Ummu Salamah kehilangan suaminya Abu Salamah, dan beliau mendapat Rasulullah sebagai ganti. 

Semoga baik-baik semuanya. Semoga Gaza kembali tenang, begitu juga dengan jiwa ini.

Salam Tahun Baru

Friday, November 16, 2012

2 comments
Tahun baru datang lagi.
Semoga tahun ini penuh dengan kebaikan dan keberkatan.
Semoga Allah memandang aku dengan pandangan RahmanNya.
Aku penuh dosa.
Sesungguhnya tidak sedikit pun dari dosa itu tersembunyi dariNya,
Tidak juga sesekali dosa-dosa luput dari pengetahuanNya
Tuhan yang Maha Menutup Aib, ditutupNya keaibanku.
Aku mohon keampunan dari Mu bagi apa yang terdahulu dari dosaku.
Aku juga mohon diberkati dengan kemampuan mengamalkan sunnah rasulNya.
Juga dengan rezeki bertemu kekasihNya di bumi Haram yang diberkati.
Agar terubat rindu aku sekian hari, dengan ucap salam langsung ke hadratnya.
Maka selawat dan salam ke atas junjungan Mulia dan rasul tercinta.
Akhirnya, segala pujian yang tertentu hanya bagi Tuhan pentadbir sekalian alam.

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.