Kemanusiaan dan Adik Dirang

Sunday, March 18, 2012

Berita pembunuhan Nurul Nadirah menggemparkan Malaysia. Hati mana yang tidak tersentuh dan jiwa mana yang tidak diselubungi kemarahan bila terdengar berita yang menyayat hati itu. Diculik, dibunuh dan dibakar, tidak tergambar betapa kejamnya perbuatan seumpama itu.

Keganasan ke atas kanak-kanak pastinya sesuatu yang tidak dapat aku terima, meskipun atas nama mendidik. Kekerasan walaupun boleh digunakan, ia ada hadnya. Aku tahu apa rasanya bila dipukul atas sebab yang aku sendiri tidak tahu kenapa. Aku tahu rasanya dikeroyok atas kesilapan yang aku lakukan hanya kerana aku kanak-kanak. Aku tahu rasanya bila berhadapan dengan kuasa yang tidak mampu aku lawan dan hindar melainkan dengan berdendam dan menangis. Aku juga tahu makna kata-kata kesat yang dilontarkan, dan mereka sangka aku tidak tahu hanya kerana aku kanak-kanak. 

Pesalah-pesalah keganasan barangkali disogok dengan keganasan sedemikian rupa pada zaman kecil mereka Janganlah berselindung atas nama mendidik demi menghalalkan keganasan ke atas kanak-kanak. Allahumma semoga kemanusiaan kekal di dalam jiwa-jiwa manusia. Semoga adinda Nurul Nadirah dikurniakan sebaik-baik tempat di sana.
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat; mereka itulah orang-orang yang lalai (Surah Al-A'raf: 179)

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.