I Am Holier Than Thou - Aku Rasa Macam Bagus

Wednesday, December 7, 2011

Terkadang dengan sedikit yang ada pada kita, membuak rasa hebat yang menjulang diri begitu tinggi. Sayup memandang mereka yang lain, jauh di bawah. Hanya kerana kelebihan yang dikurnia Ilahi, kita katakan yang lain tidak sebagus kita.

Dengan sedikit yang membuat kita tahu, kita gelarkan orang lain jahil. Dengan sedikit amalan agama kita tunaikan, kita katakan yang lain jahat. Dengan sedikit hadis yang kita hafal, kita kata masyarakat bergelumang dengan bid'ah. Dengan sedikit bacaan nukilan ilmuwan, kita bersedia menyanggah pandangan orang lama. Dengan sedikit harta yang kita ada, kita kata yang lain malas berusaha. Dengan sedikit pangkat yang kita ada, kita kebulur sembahan orang bawahan. Dan begitulah seterusnya


Pada Merasa Lebih Mengetahui
Renungkan teguran kepada Saidina Musa A.S, tatkala baginda ditanya oleh kaumnya berkenaan siapakah yang paling mengetahui. Baginda menjawab beliaulah yang paling mengetahui, lalu diingatkan Allah akan wujudnya Nabi Khidr A.S. (adapun Imam Bukhari mensyarahkan Nabi Khidir lebih mengetahui pada apa yang diajarkan kepadanya tetapi tidak diajar kepada Nabi Musa, bukan bermaksud Nabi Khidir merupakan orang yang paling mengetahui). Kisah selanjutnya dinukilkan di dalam Surah Al-Kahfi (tidak berhasrat mengulangi di sini).


Pada Merasa Diri "Lebih Dekat" Kepada Ilahi
"Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat." (Surah Al-A'raf: 174)
Ulama tafsir, di antaranya Imam Tobari menyebut bahawa ayat di atas berkenaan seorang yang makbul doanya, yang hidup sezaman dengan Nabi Musa A.S. Diriwayatkan namanya Bal'am Bin Baura. Sesudah Nabi Musa dan Bani Israil berjaya menyeberangi laut merah, mereka tiba di satu negeri. Takutkan kepada Nabi Musa dan mereka yang bersama baginda, penduduk negeri tersebut meminta Bal'am berdoa. Sesudah dipujuk rayu dengan sogokan isteri yang rupawan, Bal'am berdoa, menyebabkan Nabi Musa dan mereka yang bersama baginda sesat, hilang arah di dalam perjalanan. Begitu hebat doa Bal'am. Namun berakhir hayatnya dengan hina seperti yang disifatkan Allah-
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Surah Al-A'raf: 176)

Pada Merasa Lebih Kaya Kerana Keras Berusaha
Demikian juga hartawan si Qarun yang juga hidup di zaman Nabi Musa. Beliau memiliki gedung-gedung menyimpan harta. Pekerja-pekerja yang ramai diperlukan bukan sahaja untuk memindah harta miliknya, malah untuk membawa kunci-kunci gedung tersebut (kunci sahaja pun dah banyak). Namun akhirnya beliau ditimbus seperti dikisahkan di dalam Surah Al-Qasas ayat 81.

Pada Mengecapi Nikmat Berpangkat
Misalan mengenai orang berpangkat yang paling hebat tidak lain dan tidak bukan Firaun. Beliau mengaku "Akulah Tuhan kamu sekalian yang maha tinggi". Beliau ditenggelamkan di dasar laut merah dan dikekalkan jasadnya sehingga ke hari ini, sebagai tanda penentang tuhan yang masyhur di dalam sejarah.

Adapun takabbur dan rasa bongkak itu pakaian Allah, haram dipakai oleh hamba-hambanya. Zahirkan rasa syukur atas sedikit yang kita ada. Jangan kita lupa, tanpa pengangkut sampah, tukang bersih, tukang paip, huru hara hidup kita. 

Dikongsi di sini pesanan yang baik, dari peribadi yang baik.


0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.