Habib An-Najjar : Personaliti Syurga.

Sunday, October 30, 2011

Dan (semasa utusan-utusan itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung kota itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutlah utusan-utusan itu" (Surah Ya Sin: 20)
Pengenalan
1. Adapun nama peribadi itu tidak disebut di dalam Quran, tidak juga terdapat dari Hadith-hadith sahih. Namun dinukilkan oleh empunya Tafsir Ibn Kathir, dari Ibn Abbas bahawa nama pemuda itu Habib An-Najjar. Tafsir At-Tobari, Tafsir An-Nasafi juga Tafsir Jalallain turut menyatakan bahawa pemuda itu bernama Habib An-Najjar. Beliau juga diberi jolokan  صاحب يس (Jejaka Surah Yasin). Beliau dikatakan tinggal di Kota Antokiyah atau kini dikenali sebagai Antioch di Turki. Terdapat satu maqam yang dikatakan maqam beliau.

2. Kisahnya bermula apabila utusan-utusan Nabi Isa A.S tiba di kota Antioch, penduduk kota meragui status mereka sebagai utusan yang membawa mesej keesaan Tuhan. Utusan-utusan itu dikecam agar berhenti agar tidak mereka itu direjam dan disakiti. Tatkala situasi tegang tersebut berlaku, Quran menyebut telah datang seorang daripada hujung kota lalu mengingatkan kaumnya-
"Ikutilah utusan-utusan tersebut. Ikutilah mereka yang tidak mengharapkan balasan, sesungguhnya mereka itu diberi petunjuk." (Surah Ya Sin ; 20-21)
Lelaki tersebut dikatakan namanya Habib An-Najjar dan tindakan beliau itu telah menyebabkan beliau diseksa kaumnya sehingga menemui ajal.

3. Namun kisah Habib An-Najjar tidak berhenti di situ. Allah menceritakan perihal beliau sesudah nyawanya diambil dan kisah beliau dikurniakan nikmat syurga -
(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Beliau berkata, “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui, -Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”. (Surah Yasin: 26-27)
Renungan
1. Menjadi orang baik itu bukannya mudah. Label skema, kolot, tak urban (mengikut konteks sekarang) bukan perkara baharu yang berleluasa menghalang manusia dari berhijrah ke arah yang lebih baik. Mereka yang terdahulu kebiasaanya berakhir dengan penyiksaan dan kematian (contohnya Masyitah, Ashabul Ukhdud dan Summayyah). Setakat label-label, jangan rasa tertekan sangat.

2. Terima dengan baik pesanan mereka yang tidak mengharap balasan dalam memberi nasihat tersebut. Ianya pesanan yang baik dan mudah-mudahan yang memberi pesan itu orang yang diberi petunjuk. Begitu juga sebaliknya, jangan kita mengharap balasan dalam berbuat baik atau memberi nasihat kepada orang, semoga kita tergolong dari mereka yang diberi petunjuk.

3. Sebak membaca pesanan syurga. Beliau disuruh masuk ke dalam syurga lalu menyatakan betapa untungnya sekiranya orang lain tahu apa yang beliau dapat.

4. Sekiranya hanya kerana nama Habib An-Najjar itu menjadi isu oleh kerana tiada hadith sahih yang menyatakan hal tersebut, sila baca artikel ini dengan menggantikan Habib An-Najjar dengan Si Fulan. Equity looks into substance rather than form.

1 comments :

Mohd Syafi said...

salam wbr,
suka mendalami ilmu disini :)

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.