Tips untuk berdebat masalah agama dan persoalan "Aku Pandai Ke?"

Thursday, June 23, 2011

ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَنَا لَمَّا رَجَعَ مِنْ الْأَحْزَابِ لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الْعَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ فَأَدْرَكَ بَعْضَهُمْ الْعَصْرُ فِي الطَّرِيقِ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا نُصَلِّي حَتَّى نَأْتِيَهَا وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ نُصَلِّي لَمْ يُرَدْ مِنَّا ذَلِكَ فَذُكِرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُعَنِّفْ وَاحِدًا مِنْهُمْ
Dari ibnu Umar katanya, bahawa Nabi SAW bersabda kepada kami sekembalinya dari perang Ahzab "Janganlah seseorang pun dari kamu bersolat Asar melainkan di (penempatan/kampung) Bani Quraizah." Telah masuk waktu Asar di dalam perjalanan. Sebahagian mereka berkata "Kami tidak akan solat melainkan kami tiba (ke kampung Bani Quraizah) dan berkata sebahagian yang lain "Kami akan bersolat (disini, di tengah perjalanan) kerana bukanlah demikian maksud Nabi SAW." Kemudian telah sampai (hal kejadian) itu kepada Nabi SAW dan tidak Baginda mencela mana-mana satu pun dari mereka. (Hadith riwayat Imam Bukhari)

Perjalanan Ke Penempatan Bani Quraizah
Baginda SAW telah memerintahkan beberapan orang sahabat ke penempatan Bani Quraizah (penempatan Yahudi di Madinah) dan Baginda memerintahkan agar mereka bersolat di sana. Di dalam perjalanan, telah masuk waktu asar, maka satu golongan mengambil pendirian untuk tidak bersolat Asar sehingga tiba ke destinasi yang dituju, manakala sebahagian sahabat yang lain mengambil pendirian menunaikan solat ditengah jalan kerana takut waktu asar luput setibanya mereka ke destinasi.

Golongan yang pertama berpegang kepada ucap kata Rasulullah secara zahir seperti yang dilafazkan, lalu tidak mereka solat melainkan tiba di sana. Golongan yang kedua melihat perintah Baginda itu bertujuan agar mereka bersegera dalam perjalanan mereka ke penempatan Bani Quraizah, supaya sempat mereka bersolat asar di sana, lalu mereka menunaikan solat di dalam perjalanan, dan bukannya di penempatan Bani Quraizah.

Apabila Rasulullah mendengar situasi keduanya, baginda tidak mencela mana-mana pun dari kedua-dua golongan sahabat itu atas apa yang telah mereka lakukan.

Siapakah yang lebih betul?
Hadis ini pertama kali di dengar sewaktu mempelajari subjek Islamic Legal System atau nama arabnya تاريخ التشريع الإسلامي (SHA1130) di bawah tunjuk ajar Ustaz Nushi Mahfodz di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIA. Kali kedua di dalam pengajian subjek Asbab Ikhtilaf اسباب الختلاف (SHA 4280A) di bawah tunjuk ajar Dr. Said Boheraoua. (*sejarah pengajian hadis ini)

Ketika membincangkan hadis ini, Dr Said menyatakan tidak benar sekiranya ada ilmuwan yang cuba menyimpulkan keputusan yang manakah lebih baik, kerana Baginda SAW sendiri tidak mencela mana-mana dari kedua pihak tersebut dan tidak baginda nyatakan keputusan suatu pihak lebih baik dari keputusan pihak yangs satu lagi. Sekiranya ada pendirian yang salah, nescaya Baginda SAW akan menegur oleh kerana Baginda tidak akan membiarkan sahabatnya di jalan yang salah.

Contoh Klasik Perselisihan Pendapat.
Contoh ini ialah contoh klasik bagaimana perselisihan pendapat mengenai bicara Nabi SAW yang terjadi ketika Baginda masih hidup. Tidaklah begitu aneh sekiranya lebih hebat perselisihan pendapat itu dikala baginda sudah wafat. Malah individu yang mendengar sendiri kata-kata tersebut dari Nabi SAW juga tidak wujud. Yang wujud hanyalah buku-buku yang terkandung sekalian hadis-hadis dan tidak semuanya dikupas dan diterangkan sendiri oleh periwayatnya. 

Oleh yang demikian, perselisihan pendapat itu hampir pasti kewujudannya. Namun yang penting adab dalam menanganinya. Dalam sedar atau tidak, pengikut kepada "Mujaddid ummah" yang ingin ingin kembali kepada Quran dan Sunnah itu juga tak mahir meneliti dan mengistinbat hukum dari kedua, dan walaupun di dalam kuliah mereka mendengar ayat-ayat suci dan hadis dibacakan, mereka tidak ingat nas yang dibaca itu. Yang mereka ingat ialah kesimpulan yang dibuat gurunya itu. Itu juga taqlid, macam juga orang-orang kampung yang dituduh berbuat bidah.

Tips-tips Berguna...
  • Kepada mereka yang mula mendalami ilmu agama, pastinya akan berjumpa dengan berbagai-bagai perselisihan pendapat di kalangan ulama. Jangan terlalu teruja apabila terjumpa hadis yang menyalahi amalan atau ajaran Ustaz-ustaz kita, lalu kita kata Ustaz-ustaz itu sesat, lalu kita cela amalan itu, yang kononnya kita ingin kembali kepada Quran dan Sunnah, dan ingin mentajdidkan ummah. Slogan tersebut secara tidak langsung membuat kita perasan pandai dan menuduh ulama terdahulu beramal dengan amalan bidah yang menyalahi sunnah (yang mana perbuatan itu tidak elok ye). Ada baiknya diselidik dahulu dalil-dalil bagi amalan itu, supaya tidak kita mencela orang lain, bukan kerana mereka yang silap tetapi hanya kerana anda yang jahil.
  • Jangan juga kita lupa bahawa Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim itu bukannya semalam ia dibukukan dan anda bukan juga orang pertama yang mempelajarinya. 
  • Jangan juga perasan bila membaca kata-kata Imam Syafie R.A "Sekiranya sahih sesebuah hadith, itu adalah mazhabku." Kata-kata itu ditujukan buat mereka yang mempelajari Al-Quran, Hadith, alim dalam ilmu-ilmu instinbat seperti asbabun nuzul, asbabul wurud, ilmu bahasa Arab dan sekalin qawaid dan balaghahnya, juga mahir dalam ilmu Usul Fiqh lalu mampu mereka mengistinbat hukum dari kedua kalam suci itu. Anda tahu ke?
  • Sekiranya anda masih membaca terjemahan Quran atau terjemahan Sahih Bukhari dan sekalian sunan yang lain, samada terjemahan ke Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, anda sebenarnya memahami ayat-ayat dan hadith-hadith itu di atas olahan orang lain, kerana setiap penterjemah akan berbeza dalam penggunaan perkataannya. Jangan lekas mendabik dada bahawa anda berpegang kepada Quran dan Sunnah, sedangkan anda tidak mampu membaca, bertutur dan memahami bahasa Arab, padahal kedua-dua sumber syariat itu di dalam bahasa Arab. 
  • Resam pembawa ilmu itu seperti resamnya padi, lagi berisi lagi menunduk. Kalau tidak tunduk-tunduk, mungkin anda masih kurang berilmu. 

Lalu sila jawab kepada persoalan pada tajuk post ini "aku tak pandai rupanya."



1 comments :

~ sn ~ said...

i like =)
jazakaLlah khairan katsiran!!

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.