Lagi Lagi Derma darah

Friday, May 27, 2011

0 comments
Khusyairi, tiong hua yang pandai cakap melayu
dan cuak menderma darah



Hari Pusat Darah Negara membuka pusat menderma darah bergerak di Istana Kehakiman Putrajaya. Aku berjaya menghasut Khusyairi agar menderma darah buat pertama kalinya. Bersama-sama kami adalah Shazali. Jururawat yang menguruskan proses derma darah dia agak garang dan lazer. Bagi aku, ini kali yang ke 16 menderma darah. ^_^


Hari Guru

Wednesday, May 25, 2011

0 comments
Penyair arab, Ahmad Syauqi mengarang kalam yang indah mengenai guru. Dalam susunan bait syairnya beliau menyebut-

قم للمعلم وفه تبجيلا *** كاد المعلم أن يكون رسولا
Bangun bagi seorang guru dengan penuh penghormatan
Kerana hampir-hampir seorang guru itu menjadi seorang Rasul

Tinggi darjat guru kerana hampir-hampir menyamai kedudukan seorang Rasul. Barangkali syair itu ada asasnya, berdasarkan suatu hadith, dari Abu Darda meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Kelebihan orang alim (yang berilmu) berbanding orang abid (yang rajin mengerjakan ibadah) ialah bagaikan sinar bulan yang mengambang di waktu malam berbanding sinar bintang-bintang di langit. Dan sesungguhnya Ulama itu pewaris para nabi dan para nabi itu tidaklah meninggalkan warisan dalam bentuk dinar atau dirham, tetapi meninggalkan ilmu. Barangsiapa yang mengambil bahagian itu, sesungguhnya dia telah mengambil bahagian yang cukup.
(Hadith riwayat Abu Daud)
Menerima Didikan
Jejak aku bermula di Sekolah Rendah Kebangsaan Satu (SRK1), Tapah, (nama barunya SK Satu)  pada bulan Disember tahun 1990 disambut oleh Cikgu Maznah. Guru yang paling diingati ialah Mahaguru Cikgu Norliah, guru kelas 6 Putih tahun 1996. Hari-hari dalam kelas 6 Putih adalah hari-hari yang amat menakutkan. Kerja rumah yang tersangat banyak. Kekuatan tenaga auman dan raungan Cikgu Norliah mampu mencairkan besi dan sekalian logam. Ketegasannya tiada tolok bandingan. Ketika beliau mengingatkan pelajar agar memberi perhatian, dia bertempik "BIAR GERGASI LALU, JANGAN PANDANG LUAR!!!". Bagi Beliau pencapaian akademik amat dititikberatkan , pernah sekali aku mendapat 97% dalam percubaan UPSR bagi subjek matematik (dengan 6 kesalahan) beliau menjerit " NOOR FIRDAUSSS!!!! BERDIRI ATAS KERUSI, MENGUCAP NOOR FIRDAUS, MENGUCAP!!" Kena mengucap sebab ada 6 kesalahan. kui kui kui.

Gambar masa darjah 3, (aku yang kanan sekali)


Pendidikan menengah aku di Sekolah Izzuddin Shah, berguru dengan para murabbi ummah. Apabila menyemak hafazan dengan Ustaz Saidin, andai terlupa baca bismiillah,akan dia cubit perut sambil berkata "Bismillah mana bismillah?". Sekalian guru yang tidak tersebut namanya di sini mengajar aku erti adab menuntut ilmu, ilmu itu sendiri dan aplikasi ilmu dalam kehidupan. Pernah Ustaz Zulkhairi tersinggung di dalam kelas semasa aku di tingkatan 5 Pengajian Islam 1 (5 thanawi), keluar beliau dari kelas. Sugul kami dan kami menghantar ketua kelas kami pergi meminta maaf. (andai terjadi kepada murid zaman ini, pastinya suka sebab ustaz tak masuk kelas).

Bersama Ejad, CIkgu Wan Hassan dan Cikgu Megat Aznir di Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Sekolah Izzuddin Shah
Semasa di umur menengah, aku juga berpeluang mengikuti pembelajaran tradisional di Pondok Pak Teh, Pengkalan Hulu. Di sana adab menuntut ilmu tak kurang pentingnya berbanding ilmu itu sendiri. Tertib dan muamalah menurut sunnah dalam kebanyakan perkara. Matan Ajrumiyyah serta Matan Bina' selesai dituntut (walaupun masih belum mahir). Sungguhpun tidak lama, kesannya amat mendalam terukir di hati.

Pendidikan tertiari pula di Matrikulasi UIAM dan selanjutnya di kampus UIAM Gombak, Taman Ilmu dan Budi. Ilmuwan-ilmuwan besar menjadi tonggak pemelihara prestij universiti, merangkap lubuk-lubuk ilmu. Menjadi sebahagian dari Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim merupakan satu penghormatan ke atas diri ini. Tidak pernah aku bersua muka dengan Al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim, namun kira dapat aku bertemu dengannya, akan aku katakan, aku ini legasi Prof Ahmad Ibrahim dan akan aku wariskan legasi itu dengan izinNya. Di Taman Ilmu dan Budi ini mengenal luasnya bumi Tuhan, belajar bahasa hati dan bertemu insan-insan yang dekat di hati.

Menjadi Pendidik
Aku juga berpeluang menyandang gelaran pendidik sekalipun tidak berterusan sebagai profession. Anak murid yang pertama ialah Ismail bin Mohamed Yusop, pada tahun 2001 di Sekolah Izzuddin Shah. Pada tahun 2004, semasa cuti semester tahun satu di Universiti Islam Antarabangsa. Aku menjadi guru KAFA di Sekolah Agama Ar-Rahmaniah Kg Datuk, Tapah. Pada tahun 2006 aku menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sekolah Kebangsaan Datuk Kelana Tapah, menggantikan cikgu bersalin. Masa di situ sempat aku mendendangkan lagu "Kami Guru Malaysia" dan dapat banyak hadiah (yeay~!!). Kemudian pada Julai 2007-April 2008 (dua semester) aku secara sambilan menjadi Tutor bagi subjek "Criminal Law 1" di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM.

Prinsip Yang Harus Digenggam oleh Guru
Ketika sambutan Hari Guru pada tahun 1999, Pengerusi Kelab Guru Sekolah Izzuddin Shah, Ustaz Nasrun Adil dalam ucapannya menyebut bahawa prinsip yang dipegang oleh seorang guru itu seperti disebut oleh Allah SWT-
Tidak kami nasakh (batalkan) sesuatu ayat (hukum atau bacaan di dalam Al-Quran) atau kami tinggalkan (ayat tersebut) melainkan kami gantikan dengan sesuatu yang lebih baik atau yang seumpamanya. (Al-Baqarah: 106)
Katanya seorang guru sentiasa berkehendakkan anak didiknya menjadi lebih baik dari beliau, atau sekurang-kurangnya menjadi seperti beliau. Allahumma Amin. Lagu di bawah ini buat insan yang bergelar guru. Semoga sentiasa di bawah rahmat Allah.

SELAMAT HARI GURU





Naik keretapi ke Butterworth

Thursday, May 19, 2011

2 comments
Tanggal 13 Mei 2011, aku telah ke Butterworth menaiki keretapi, memenuhi impian yang sudah lama aku simpan, seawal umurku 10 tahun apabila menghantar ayahku pulang ke USM menaiki keretapi.Tiket aku beli di atas talian (online) di KTMB E-ticket dengan harga RM40.00 bagi coach berkatil. Itu bagi katil di atas, bagi katil di bawah, tambah RM6 lagi.

Yang sebetulnya tiket itu aku beli pada 4/5/2011, namun terbeli tiket untuk perjalanan pada 6/5/2011. Polisi KTMB membenarkan tiket ditukar sebelum 24 jam dari masa perjalanan. Lalu aku ke KL Sentral menukar tarikh tiket itu dari 6/5/2011 ke 13/5/2011. Aku terlalu teruja kerana sudah lama aku impikan pengalaman menaiki keretapi.

Perjalanan dijadualkan bermula jam 10.00pm. Dari rumah di Putrajaya, aku letak kereta di Putrajaya Sentral, mengambil ERL dan tiba di KL Sentral dalam jam 9.15pm. Semuanya berlalu dengan cepat. Di Putrajaya Sentral terserempak dengan Miss Soni yang mengendalikan Sleep Study di Hospital Serdang.

Keretapi mula bergerak jam 10.00pm. Kata orang boleh ke tidur dalam keadaan bergerak-gerak? aku jawabkan - aku lena dalam bergeraknya keretapi itu. Oleh kerana perjalanan pada waktu malam, tiada permandangan indah untuk aku nikmati, melainkan katil yang tak sudah-sudah menjampi aku untuk terus tidur di atas katil, tatkala bergeraknya keretapi.

Perjalanan mengambil masa 8 jam. Apa yang berlaku dalam masa 8 jam itu dapat aku simpulkan dalam satu perkataan (barangkali dua) TIDUR LENA. Tibanya di Stesen Keretapi Butterworth lebih kurang jam 6.00am. Cuci muka dan terus ke surau, solat subuh berjemaah. Aku ternampak mesin jual kopi. Tak ku sangka-sangka harga kopinya RM1.20. Dengan pantas aku mendapatkan secawan (kertas) kopi panas.


Aku kemudian disambut oleh Tuan Majistret Butterworth yang murah hati dan kemudiannya dibawa ke Sukan JALSOA Zon Utara. Majlis tersebut mengingatkan zaman di kala aku bertugas di Sungai Petani dahulu dan wajah-wajah yang aku jumpa pastinya tidak begitu asing.

Pada malam hari 14/5/2011, telah ke Pulau Pinang untuk menghadiri kenduri Tuan Majistret Georgetown, Tuan Mohd Firdaus Abdul Wahab. Dalam kesesatan yang nyata (berserta sumpahan seranah Aznin serta tohmahannya bahawa peta pada kad kahwin itu telah dilukis dengan kaki) akhirnya kami sampai juga ke destinansi yang dituju.

Adapun perjalanan ini terjadi apabila aku meminta Firdaus untuk menghantar kad kahwinnya, dan apabila aku terima, ALAMAK!! MINGGU DEPAN KENDURI DIA. Mengenangkan perjalanan ke Pulau Pinang yang jauh, teringat aku akan impian aku menaiki keretapi dan aku penuhi impian itu dengan jasa baik rakan-rakan di utara tanah air. Terima kasih di atas jasa baik anda semua dan semoga kita berjumpa lagi di lain masa.

***Oleh kerana terlalu teruja, langsung aku terlupa nak mengambil gambar coach katil yang menjampi aku tidur lena.

Suka dan Benci

Friday, May 6, 2011

0 comments
 "Diwajibkan ke atas kamu peperangan (untuk menentang pencerobohan) meski ianya dibenci oleh kamu, dan boleh kamu membenci sesuatu padahal ianya baik bagi kamu, dan boleh jadi yang kamu sukai sesuatu sedangkan ianya buruk bagi kamu. Dan Allah jualah yang Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahuinya."
Surah Al-Baqarah: 216

ِِAyat tersebut berkisar mengenai kefardhuan peperangan dan kebencian manusia terhadap peperangan. Allah menambah bahawa adakalanya kita membenci sesuatu sedangkan ianya baik untuk kita, dan demikian juga sebaliknya.

Kaedah fiqhiyyah menyebut (Kitab Al-Mahsul oleh Imam Fakhrudin Ar-Razi)
"العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب"
Sesebuah frasa (dari Quran atau Hadith) itu difahami dengan umum lafaznya, tidak dengan sebab ia diturunkan/diriwayatkan.

Secara amnya maksud ayat tersebut mencakupi apa-apa perkara sahaja yang dibenci atau disukai manusia, walaupun ayat tersebut diturunkan dalam memperjelaskan tanggapan manusia berkenaan hal peperangan. Barangkali yang disukai bakal memudaratkan, dan barangkali yang buruk di mata kita bakal memanfaatkan. 

Allah lebih mengetahui akan baik buruk dalam sesuatu perkara.



Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.