Sapaan Izrail (In memory of Rudi Yanto Abdullah)

Monday, April 11, 2011

"Setiap jiwa itu pasti akan merasai mati"
(Surah Ali-Imran: 185)

Demikian yang telah difirmankan dan benarlah akan sekalian kalam-Nya. Pada 31 Mac 2011, aku diajak oleh Tuan Hafizi menziarahi Rudi yang baru sahaja menjalani beberapa pembedahan. Aku tidak dapat memenuhi ajakan tersebut. Beliau ketika itu hidup dengan alat bantuan pernafasan. 

Sebelum itu, pada otak beliau dikesan ada tumor, lalu dibedah. Kemudian beliau dibedah sekali lagi untuk membuang darah beku dalam otak. Kemudian dibuat lubang dileher beliau bagi mengeluarkan kahak dan yang terakhir, dibedah kepalanya untuk mengeluarkan air. 

Pada kira-kira jam 4.10 petang, aku diberitahu bahawa jantungnya sudah berhenti dan jam 4.20 petang, beliau disahkan telah pergi menghadap Ilahi. Suasana suram di Istana Kehakiman, dan kedengaran tangisan di celah-celah Registri Mahkamah Rayuan. Aku menumpang Puan Mursyida ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi memberi penghormatan terakhir.

Setiba di wad, jenazah beliau ditolak menuju ke bilik mayat. Jenazah beliau diuruskan untuk dihantar balik ke Lahad Datu, Sabah. Pakej dari MAS kargo tiba dalam pukul 7 malam. Jenazah beliau dibawa di Surau bersebelahan dengan HKL untuk dimandikan dan disolatkan. Aku turut sama berpeluang memandikan jenazah beliau bersama-sama mereka yang lain. Kemudian aku sama-sama membantu membalut tubuh yang sejuk itu dengan kafan yang putih. Sedikit yang mampu aku lakukan buat teman sekerja.

Sesudah solat isya', jenazah dibawa ke hadapan surau dan disolatkan. Sesudah solat, Sang Imam berpaling ke belakang seraya bertanya, "Bagaimanakah perihal ini mayat?" Sekalian yang hadir menjawab "BAIK". Lalu imam tersebut menyampai suatu hadith:

Telah melepasi baginda SAW suatu jenazah, orang ramai memuji jenazah itu dengan kebaikan, lalu Rasulullah SAW bersabda “WAJIB”. Kemudian telah lalu satu jenazah yang lain, dan orang ramai mencela akan keburukannya, lalu disabdakan “WAJIB”. Lalu Sayidina Umar R.A bertanya, “apakah yang wajib itu ya Rasulullah?”. Sabda Baginda, adapun mayat yang baik seperti mana kamu semua sebutkan itu, wajib baginya syurga, sedangkan mayat yang dicela dengan keburukan oleh kamu semua, wajib baginya neraka. Kalian adalah saksi Allah di muka bumi (Hadith Riwayat Muslim)
Tazkirahnya menusuk ke kalbu. Disyarahkan oleh Imam tersebut bahawa bagi mayat yang dipuji orang baik itu tempatnya dijanjikan Allah di syurga. Bagaimana sekalipun hidup Si mati itu, andai dikehendaki Allah baginya syurga, syurgalah tempatnya, tanpa perlu ada syarat-syarat lain. Allah tidak perlu berkompromi dengan sesiapa pun ujarnya lagi.Terfirkir aku, segala ilmu dan amalan anak Adam itu hanyalah usaha, usaha dalam memperolehi rahmat-Nya. Selama ini kerap aku bersangka buruk bagi orang yang tidak "menurut syariat" di mata kasar, masakan orang begitu boleh tempatnya di syurga. Namun jawapan kepada persoalan itu diungkap mudah oleh Imam surau yang mengetuai solat jenazah Rudi. "Allah tidak perlu berkompromi dengan sesiapa ". Rudi baik orangnya dan semoga ucapan baik ke atas mayatnya akan menempatkan beliau di syurga, insyaAllah. 

Perihal mati itu sama sahaja, baik yang kaya atau yang miskin, tua ataupun muda. Memuliakan jenazah itu suatu tuntutan, hatta bagi yang bukan Muslim. Diriwayatkan oleh Saidina Jabir R.A bahawa pada suatu masa satu jenazah telah melepasi Baginda SAW lalu Baginda bangun menghormati jenazah tersebut. Lalu kami berkata, "Ya Rasulullah, jenazah tersebut adalah seorang Yahudi." Rasulullah menjawab, "Sesungguhnya kematian itu menggetarkan, maka jika kalian melihat iringan jenazah, maka hendaklah kalian berdiri." (Hadith Riwayat Muslim)

Rudi kemudian kami angkat dan kami letak di dalam keranda yang kemudian tutup untuk dibawa terbang ke Lahad Datu. Menguruskan jenazah beliau mudah, dan semoga beliau dipermudahkan bagi urusannya di sana, negeri yang kekal abadi.

*Dear Rudi Yanto Abdullah, we happened to be at the same time at the same place. Back then as a student, I was ahead one semester but You joined the service before me. You were magistrate of Baling where I joined You later in Sungai Petani. We then parted to Putrajaya together. Pleasant among the brethren, I dispatch prayers so You will join Anbiya', the truthfuls, the martyrs, and the pious, the best of the companies. As You are the first to leave us , after you we shall come.

AL-FATIHAH

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.