Fitnah ilmu

Tuesday, April 19, 2011

Ada seorang ilmuwan yang kerapkali mengemukakan alternatif bagi sekalian hukum yang diamalkan oleh kebanyakan Muslim di Malaysia.

Umat ini disogok berulang-kali masalah menyebut "saidina" pada nama Nabi Muhammad, hukum wanita haid masuk ke masjid, hukum qunut, tahlil arwah, sifat 20 dalam perkara tauhid. Allahumma!!!

Islam di Malaysia umurnya mencecah 600 tahun, apakah selama ini umat Islam di Malaysia tidak kenal apa itu ilmu hadith dan mustolahnya? Adakah ummah tidak pernah kenal akan sahih bagi Imam Besar Bukhari dan Muslim serta sekalian syarahnya.. Apakah selama ini tuan-tuan guru kita  mengabdikan diri memperjuangkan  amalan bid'ah sehingga tertegaknya Islam dibumi Malaysia?

Ilmu fiqh luas perbincangannya. Berkenaan perbezaan pendapat sahaja, Dr Mustafa Said Al-Khun mengarang suatu kitab bertajuk اثر الاختلاف فی القواعد الاصولية فی اختلاف الفقهاء  "Kesan daripada perselisihan dalam kaedah-kedah usul kepada perbezaan dikalangan ulama-ulama feqah." Isi kandungan kitab tersebut berkisar mengenai isu perbezaan pendapat dikalangan ulama, bahkan di antara sahabat-sahabat baginda SAW dan konklusi dari pembelajaran kitab ini, dapat disimpulkan bahawa perbezaan itu diraikan dan pandang dengan penuh hemah dikalangan ulama,bukan diperlekehkan.

Saidina Umar menolak hadith Ammar bin Yassir dalam perkara tayammum bagi mereka yang berjunub, beliau juga menolak hadith yang diriwayatkan Fatimah Binti Qais yang pada pandangannya tidak kredibel. Bukan hanya hari ini ummah ini berselisih pendapat pada perkara "furu'- cabang", ianya terbit seawal zaman Khulafaur Rasyidin R.A.

Jika ada diantara amalan yang dibuat itu disandarkan pada hadith yang dhaif, seperti qunut dan juga menyapu wajah sesudah memberi salam, lupakah kita pada kalam Imam Ahmad Bin Hanbal- "berpegang kepada hadith dhaif yang disanad (dikaitkan) kepada Baginda SAW itu lebih baik dari berijtihad sendiri."

Menjamu orang makan pada hari kematian juga salah, Ya Allah. Sempitnya agama aku di mata mereka. Bukankah memuliakan tetamu itu suatu tuntutan, menjamu orang makan itu juga suatu tuntutan. "Berilah makan kepada ahli keluarga Jaafar" bukanlah hadith yang melarang keluarga si mati dari menjamu orang yang datang melawat. Ianya hadith yang menggalakkan orang yang datang melawat untuk menjamu keluarga si mati, dan andai yang berlaku sebaliknya, tidak pula perlu dilarang dan ditohmah sebagai amalan bidah.

Membaca Yasin di malam Jumaat di rumah Allah, perkara yang sebegini elok pun tidak lepas dari dikatakan. Andai ada, datangkan suatu nas yang mencela mereka yang membaca Quran. Yang harus dirisaukan ialah mereka yang jauh dari rumahNya dan buta dalam membaca kalam-Nya.

Ya Allah, dikala ummah ini disembelih di bumi yang penuh Barakah, bumi para Anbiya' dan tanah di mana Rasulmu di "Mikraj" kan, orang alim dikalangan kami sibuk mengenai perkara-perkara remeh, mempersendakan ulama lain dan mencela sesama sendiri. Kita terperangkap dengan slogan "ulama juga manusia biasa seperti kita yang tidak lari dari kesilapan" tapi lupakah kita juga bahawa "ulama adalah pewaris para nabi."

Fitnah baru dikalangan kami bukan lagi dengan berbunuh-bunuhan, tetapi dengan fitnah ilmu dikalangan ulama kami.

1 comments :

~ sn ~ said...

dah lama aku nak tulis benda yang ko tuliskan ni.namun aku tak punya keahlian, jadi aku takut tulisan itu menjadi fitnah atas diriku sendiri.tapi semakin hari semakin kuat niat hendak menulis, sedangkan ilham tak datang-datang.dan subhanaLlah, rupa-rupanya isi hati aku ini disampaikan oleh ko, dan moga dengan rahmat dari Allah, dikongsikan bersama-sama dengan ramai lagi. alhamdulillah, tabarakaLlah!!

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.