Umum Balwa - Bala yang berleluasa

Friday, January 21, 2011

Situasi 1
Saya sedang keluar bersiar-siar. Sudah masuk waktu solat dan saya ingin solat. Tapi saya rasa seluar saya kotor. Macam mana nak solat.

Situasi 2
Rumah saya ada anak kecil. Ada jarak di antara bilik air dan tempat solat. Perlukan saya mop lantai rumah saya setiap masa supaya saya tidak terpijak najis yang mungkin disebabkan oleh anak-anak saya.

Situasi 3
Saya baru berpindah ke rumah baru. Perlukah saya basuh rumah saya dengan air tanah, sebab saya mengesyaki anjing ada duduk di rumah tersebut.


Umum Balwa عموم البلوى

Definisi oleh Dr Wahbah Zuhaili:
شيوع البلأ بحيث يصعب على المرء التخلص أو الإبتعاد عنه 
Berleluasa suatu keburukan (bala) yang tidak dapat seseorang individu itu menghindari atau menjauhinya.. (bala tersebut)
.
Dengan kata lain, situasi yang melibatkan wujudnya perkara yang dihukumkan berdosa atau najis, yang mana kewujudannya terlalu berleluasa dan meluas sehinggakan tidak dapat dihindarkan perkara tersebut atau dijauhkan, melainkan akan terbit kesusahan yang melampau dalam usaha menghindari perkara-perkara tersebut. Hal sebegini terdapat kelonggaran diberikan oleh syarak.

Sandaran bagi kelonggaran dalam perkara umum balwa:

a) Hadith Abdullah ibn Umar, dalam bab wudhu',Sahih Bukhari -Bahawa pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing membuang air di masjid, dan tidak ada seorang sahabat pun membersihkannya. Perkara ini kerapkali terjadi dengan meluas.  Jadi ada yang menyimpulkan wujud umum balwa dengan taqrir dari Rasulullah di dalam situasi tersebut (Walaubagaimanapun ada juga huraian lain bagi hadith ini, yang tidak menggunapakai rukhsah dalam perkara umum balwa)

b) Ibu-ibu yang menyusukan anak di zaman Rasulullah SAW mendirikan solat dengan pakaian yang terkena benda-benda yang keluar dari mulut bayi seperti muntah dan sebagainya. Jadi ada yang menyimpulkan perkara ini di taqrir oleh Rasulullah sebagai rukhsah dalam perkara umum balwa (rujuk  إغاثة اللهفان : jilid 1 m/s 245)

c) Diriwayatkan oleh Imam Malik, bahawa seorang wanita bertanya kepada Ummu Salamah "Bahawa kain saya labuh dan saya berjalan ditempat yang kotor. Ummu Salamah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda "dibersihkan (kotoran itu) dengan benda yang sesudahnya (yakni tanah).

Contoh-contoh  lain umum balwa
1) Lumpur di jalan-jalan yang pastinya tidak dapat dielakkan dari terkena seluar dan pakaian. Lumpur ini seringkali dikaitkan dengan wujudnya najis. Perkara ini sering berlaku dan amat sukar untuk menghindarinya. Maka tergolong ia daripada perkara yang dimaafkan, dan seluar atau pakaian yang terkena lumpur di jalan ini sah dipakai untuk solat. (Al-Asybah wa Nazair Al Suyuti: m/s 164)

2) Air yang bercampur tanah dan lumut, yang mana mendatangkan kesusahan pada memisahkan air dan bendasing tersebut. Maka kekal air itu suci, meskipun air telah berubah oleh sebab bendasing tersebut (Misbahul Munir, Jilid 2 m/s 437)

Kaedah Fiqhiyyah yang berkaitan

Antara kaedah fiqhiyyah yang berkaitan ialah المشقة تجلب التيسير - Kesukaran menjadi sebab kepada keringanan/kemudahan.

*Agama itu mudah dan perkara yang menyebabkan kesukaran tidak seharusnya menjadi penghalang dalam menjalankan ibadat. Kerapkali terjadi tompokan cat yang halus dan tidak dapat ditanggalkan dari orang yang mengecat, pastinya wudhu mereka ini sah, dan solat ini sah, kelonggaran dalam perkara umum balwa. Begitu juga bagi jejaka yang keluar bergaya dengan seluar jeans mereka. Kerapkali alasan diberi bahawa seluar kotor dan tiada kain pelekat untuk solat.Pastinya solat tidak harus ditinggalkan atas sebab itu.

Rujukan;

عموم البلوى ـ دراسة نظرية تطبيقية
Umum Balwa (buku): Muslim Bin Muhammad Bin Majid, terbitan Maktabah Rusyd, lin nasyr wat tawzi' (asalnya thesis master pengarang di Bahagian Usul Fiqh, Fakulti Shariah di Riyadh)
Boleh download kat sini http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1139

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.