Derma Darah

Thursday, December 23, 2010

Tengahari tadi telah ke Kementerian Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Parcel C, Presint 1, Putrajaya. Tujuan ke sana ialah untuk menderma darah. Hospital Putrajaya tidak mempunyai bank darahnya sendiri, justeru, cara yang mudah ialah menunggu Bank Darah bergerak ini tiba melabuhkan sauhnya di Putrajaya. Setelah merujuk kepada website Pusat Darah Negara, ada pusat derma darah dibuka di MOSTI.

Diwar-warkan di radio bahawa Pusat Darah Negara kekurangan darah. Darah tersebut digunakan bagi mereka yang memerlukan, terutama bagi kes-kes kecemasan. 

Jenis darah ialah secara amnya ialah jenis A, jenis B, jenis AB dan jenis O.Terdapat juga jenis darah selain ABO ini, yang dikira sebagai darah ganjil, seperti yang digelar Bombay Type Blood, duffy-negative blood. Mereka yang memiliki jenis darah yang ganjil ini tidak mempunyai sebarang masalah MELAINKAN apabila mereka memerlukan pemindahan darah ke atas diri mereka, oleh kerana kesukaran mendapatkan jenis darah yang sama.

Menderma darah adalah suatu amalan yang baik. Ianya terangkum di dalam tuntutan untuk berbuat baik dan berbuat sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain. Timbul isu mengenai hukum menderma darah kepada yang bukan Islam atau menerima darah dari yang bukan Islam.Kita dituntut untuk memelihara jiwa seperti firman Allah di dalam Surah Al-Maidah:32-

...bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya

Dalam isu derma organ (mungkin boleh dijadikan panduan bagi kes derma darah), Sheikh Yusuf Qardhawi berpendapat bahawa hukumnya harus, walaupun kepada yang bukan Islam, antara alasan beliau ialah terjadinya perpindahan organ itu dengan tujuan memelihara nyawa manusia. Beliau juga berpendapat bahawa organ dan juga darah tidak sepatutnya dinisbahkan dengan agama pemiliknya dan hujahnya lagi bahawa sekalian makhluk di langit dan dibumi bertasbih mensucikan Allah, dan ini termasuklah anggota badan manusia (walaupun tuan punya badan tidak begitu. Wallahua'lam

Hadith Nabi yang mafhumnya "Apabila mati seorang anak Adam itu, terputuslah darinya sekalian perkara melainkan tiga. Yang Pertama Sedekah Jariah (yang manfaatnya tidak putus), Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya"

14 kali derma darah ^_^
Sekadar renungan, jika kita tidak mampu dermakan wang ringgit bagi mereka yang kurang bernasib baik, mungkin kita boleh dermakan darah kepada mereka yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

1 comments :

muzam said...

sungguh rajin anda menderma darah..

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.