Agama dan Bukan Ahli

Saturday, June 14, 2008

Dengan kemudahan teknologi yg kita ada, kini mencari ilmu bukan lagi sepayah dahulu. Dahulu, nak belajar agama kena ke madrasah, surau atau pondok. Kini kita ada sekolah-sekolah agama yg melahirkan generasi celik agama. Kita juga ada kemudahan seperti AlQuran elektronik berserta terjemahannya dan juga bacaan AlQuran dalam bentuk mp3 yg dengan mudahnya disuap ke lubang telinga. Tak kurang juga adanya hadith-hadith nabi dalam bentuk digital.

Dalam kemudahan mencari ilmu agama ini, tampak wujud golongan-golongan bijak pandai, yg berkerjaya professional dan teknokrat, menggelar diri mereka celik agama dan dengan mudah memperlekehkan ilmuwan-ilmuwan tua dan pendapat-pendapat mereka. Berbekalkan terjemahan Al-Quran dan juga terjemahan hadith-hadith Bukhari dan Muslim, mereka membantai ulama-ulama tua dan menyifatkan yang ulama-ulama ini “buta dalil”, mengambil hukum dari lidah ulama silam, bukan dari sumbernya iaitu AlQuran dan sunnah.


Tak cukup dengan itu, ulama-ulama silam turut dipertikaikan. Fatwa Imam Syafie sering dipertikai oleh mereka dan ujarnya bercanggah dengan hadith-hadith dari terjemahan yg mereka punyai. Lalu dikritik Imam Syafie sehinggakan ada yg hilang rasa hormat terhadapnya dengan menggelar ulama besar itu “Budak Pie”.

Semangat ke arah mendalami agama itu wajar dipuji, terutama bila semangat itu wujud dalam diri jurutera, jurubank, ahli perniagaan dan pengamal undang-undang. Namun perlu mereka ini sedar yg agama itu bukan secara zahir dan mentah kita ambil dari Al-Quran dan Hadith. Untuk memahami Al-Quran, pengetahuan mendalam di dalam Bahasa Arab merupakan satu kemestian, kerana AlQuran diturunkan dan juga hadith dilafazkan di dalam bahasa arab. Bahkan perbezaan dlm bahasa antara faktor yg menyumbang kepada wujudnya perbedaan yg luas dalam pengistinbatan hukum di kalangan ulama. Memahami Alquran dari terjemahan di dalam bahasa melayu atau inggeris bukan satu jaminan kepada pemahaman maksud AlQuran pada erti kata yg sebenar.

Satu contoh yg amat menarik, sebagai mana dinukilkan oleh Ibnu Rusyd di dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid ialah di dalam masalah melafazkan talak sesudah tamat tempoh ila’ (bersumpah menjauhi hubungan kelamin dengan isteri), samada talak terjatuh dengan tamatnya tempoh sumpah ila` atau si suami perlu melafazkan talak.

Jumhur selain Imam Malik berpendapat jatuh talak dengan tamat tempoh ila’, andainya suami tidak menarik balik sumpahnya walaupun si suami tidak melafazkan talak. Imam Malik berpendapat talak tidak jatuh dengan sendiri, walaupun dengan tamat tempoh ila’ dan dalil mereka hanyalah kerana dihujung ayat ila’ menyebut “Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” dan bagi mereka, "mendengar" di dalam ayat itu menunjukkan kepada perlunya "lafaz" talak. Hanya dengan menggunakan dalil bahasa, ulama Maliki berfatwa menyalahi pendapat ulama-ulama lain, dan pendapat ini dihormati hingga ke hari ini.

Begitu juga pentingnya ilmu Usul Fiqh. Andainya AlQuran dan Hadith itu dianggap sebagai bahan mentah (raw material), ilmu usul fiqh ialah peralatan, kaedah-kaedah yg digunakan untuk mendapatkan hasil, iaitu hukum. Ulama menyusun usul fiqh sebagai peralatan dalam mengeluarkan hukum dari kedua-dua kalam suci, AlQuran dan Sunnah.

Tak kurang juga pentingnya pemahaman mengenai kebarangkalian wujudnya perbezaan pendapat, kerana manusia bukan semua berfikir dgn cara yg sama. Jadi adab dalam menghadapi perbezaan pendapat amat penting.

Namun yang paling penting, mengenali diri sendiri. Imam Syafie mempelajari bahasa arab secara berguru dengan puak badwi yg masyhur dengan penguasaan bahasa arab mereka. Beliau juga menghafaz Muwattta (kitab hadith) Imam Malik sebelum berguru dengan Imam Malik sendiri. Bahkan ada satu ketika dimana guru kepada Imam Syafie ditanya apakah sebab rasul melarang sarang burung dari diganggu, gurunya tak dapat menjawab. Lalu Imam Syafie memberi pendapat yg hadith itu berkaitan dengan hadith lain yg melarang menilik dan arab jahiliyyah menilik dengan menggunakan burung untuk menentukan perjalanan mereka ketika berdagang. Sesudah itu gurunya berkata dimajlis umum, andainya wujud permasalahan dlm pemahaman hadith, rujuklah anak muda ini (sambil menunjuk kepada Imam Syafie).


Dalam ilmu akhlaq, kita di ajar mengenai "tsiqah" atau "trust" in English. Dalam mempelajari ilmu, kita perlu ada sifat mempercayai mereka yg memberi ilmu, samada yg memberi ilmu itu manusia atau pun tulisan seperti buku. Telah maklum akan kewujudan mereka-mereka yg terkenal tsiqahnya mereka, terutama ulama-ulama mazhab, seperti masyhurnya Imam Nawawi empunya Matan Minhaj dan Syeikh Khatib Syarbini empunya Mughni Muhtaj Syarah Matan Minhaj dalam fiqh Syafie. Pendapat yg dinukilkan dalam kedua kitab ini telah berabad diperakui sebagai nukilan hukum yg telah ditulis dengan jujur, bersandarkan dalil-dalil AlQuran dan Sunnah. Sikap mempercayai "pembawa ilmu" ini dapat kita lihat dalam diri Imam Syafie, seperti yang tergambar dari kata-katanya yg masyhur "Aku jadikan kitab ini (Muwatta' Imam Malik) sebagai hujah di antaraku dan Tuhanku". Begitulah contoh dari seorang ulama yg tsiqah dengan ilmu dari gurunya.

Namun terasa jelak bila melihat mereka-mereka yg mutu bahasa arabnya sekadar tahu mengira dan bertanya khabar, memperlekehkan kitab-kitab fiqh, mengajak umat ke arah berijtihad sendiri dan meninggalkan taqlid. Mereka ini dengan bongkak "mencuba" mengistinbat hukum dari AlQuran dan Sunnah, seolah-olah mereka "ahli" dalam bidang tersebut. Bila mereka ini disogok dengan pendapat ulama, terpacul dengan megah dari mulut mereka "mana dalilnya?" laksana alim lagi bijaksana rupanya. Andainya alim sangat, seharusnya dada itu penuh dengan dalil, tak perlu ditanya lagi.

Yang peliknya, fenomena ini hanya berlaku bila mereka mengaji agama. Andai diunjurkan berita ekonomi, sains atau yg selainnya, tidak di tanya mana dalilnya. Mereka juga menggesa umat meninggalkan amalan yg tidak ada asas dalam Islam, terutama amalan-amalan yang kononnya warisan dan "tidak berdalil".

Jadi bila AlQuran dan sunnah bebas dihurai oleh sesiapa sahaja, tumbuhlah ideologi seperti Haji Kahar yg mengatakan Surah Yaasin diturunkan kepadanya. Tak kurang hebatnya Islam liberal yg mendakwa AlQuran mempunyai kesilapan dari segi tatabahasa dan juga mendakwa bahawa Nabi bukan buta huruf secara hakiki seperti yg disebut di dalam AlQuran. Tidak mustahil juga jika nikah mutah diharuskan oleh golongan "ahli dalil" ini, kerana adanya hadith yg kuat dari Ibnu Abbas yg menyokong keharusan nikah mutah.

Kita sering terperangkap dengan slogan "ulama-ulama juga manusia biasa seperti kita". Bersemangat dengan apa yg dianjurkan oleh slogan ini, kita hilang rasa rendah diri terhadap ulama-ulama silam dan seterusnya mencambah sikap biadab kita terhadap ulama-ulama dan tradisi keilmuwan yg amat dititikberatkan di dalam Islam. Memang benar manusia itu serba kekurangan, begitu juga para ulama, tapi di dalam mengkritik, berlaku jujurlah kepada mereka yang dikritik dan yg lebih utama, sedarlah diri. Jangan jadi leftenan yang cuba mengajar jeneral.

Ulama-ulama kita ibarat laut dan kita ibarat sinki dapur. Yang kita tahu barangkali secebis dari apa yg mereka tahu. Kenal diri kita. Ulama-ulama ini juga telah berabad dipercayai. Tapi kita yg hidup di zaman moden cuba hendak berlagak pandai macamlah kita lagi pandai dari orang-orang dulu. Jangan wujud fenomena tukang emas mengajar tukang kayu bagaimana hendak mengetam, begitu juga jangan kita jadi seperti ahli muzik mengajar peguam bagaimana nak berhujah. Kita hidup dlm bidang masing-masing dan hormatilah mereka yg arif di dalam bidang itu. Jangan kerana kita hafal hadith dua tiga patah, habis ulama lain kita tuduh sesat, dek kejahilan kita akan berjuta patah lagi hadith yg kita tak hafal.

0 comments :

Hakcipta terpelihara - Noor. Powered by Blogger.