Tuesday, May 29, 2012

Berpesan-pesan

Baru-baru ini aku berjumpa dengan seorang sahabat dan sepertimana biasa, mengundang sembang yang panjang. Antara ceritanya, pertemuan beliau dengan seorang yang berhasrat untuk menyampaikan dakwah, sesudah beliau menunaikan solat asar di suatu hari.

Yang menarik hati, dalam pertemuan dengan pendakwah itu, sahabat ini berharap supaya yang mendakwah itu juga akan dapat belajar sesuatu darinya. Tamat cerita sahabat dan pendakwah.

Lalu kami bercerita kisah-kisah lain. Lalu di dalam sembang itu, sahabat ini ungkapkan perkataan yang begitu cliche - mesti ada sebab Tuhan letak kita dalam sesuatu situasi, yang mungkin kita tidak selesa, begitu juga mesti ada sebab Tuhan jumpakan kita dengan seseorang yang mungkin kita kurang berkenan (dari segi sikap atau peribadinya). 

Sahabat itu menambah lagi, kalau asyik fikirkan situasi yang malang itu sahaja atau orang yang kita tak suka itu, sememangnya kita akan runsing. Realiti yang merunsingkan itu takkan berubah atau hilang sekelip mata. Yang betulnya, cuba fikirkan bahawa mesti ada sebabnya Tuhan letak kita di dalam keadaan yang kita kurang senangi itu. 

Aku terdiam. Tidak ku sangka perkataan penuh hikmah itu keluar dari mulut sahabatku itu. Benarlah dia, aku juga belajar sesuatu darinya.
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Surah Al-Asr: 1-3)

Monday, May 28, 2012

The Departing

He (Khidr A.S) answered: "This is the parting between me and thee...(Surah Al-Kahfi:78)

Wednesday, May 23, 2012

Usah Tinggalkan Diriku, Kepada Diriku

Berhati-hati dalam berharap, kerana belum ada kepastian dalam sesuatu pengharapan. Namun tidak juga harus berhenti berharap, kerana rahmat Yang Maha Esa luas tidak bertepi.

Harus percaya pada diri, tapi jangan angkuh dengan kemampuan diri, kerana kemampuan diri tak lebih dari kemampuan seorang manusia, ada di kalangan manusia itu gagal, ada di antaranya binasa, tak mustahil untuk berkongsi nasib yang sama.

Bersahabat sekadarnya, kelak benci mungkin meresap masuk, mungkin esok, mungkin lusa, (walaupun tak terbayang akal, bagaimana...)
Dari Anas Bin Malik R.A, sabda Baginda SAW kepada anakandanya Fatimah R.A - "Apakah yang menghalangmu dari mendengar pesananKu, yang harus kamu ucapkan di waktu pagi dan petang, (iaitu)
"Ya Hayyu (Wahai Yang Maha Hidup) Ya Qayyum (Wahai Yang Maha Berdiri Dengan Sendirinya), dengan rahmatMu aku memohon pertolongan, perelokkan bagiku dalam sekalian urusanku, dan usah Engkau tinggalkan aku kepada diriku, walau sekelip mata"
ما يمنعك أن تسمعي ما أوصيك به أن تقولي إذا أصبحت ، وإذا أمسيت : يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث ، أصلح لي شأني كله ، ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين 
 (AlMustadrak- Al-Hakim)

Tuesday, May 15, 2012

Empunya Ketenangan...

Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya) (Surah Al Fath: 18)
Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) Maka Sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang Dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu Dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, Sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepadanya dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Dia menjadikan orang-orang kafir Itulah yang rendah. dan kalimat Allah Itulah yang paling tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (Surah At Taubah: 40)
Dua kisah tersebut terdapat padanya satu elemen yang selalu diucap manusia. "Balik kampung, cuti, cari ketenangan." "Tenang sikit kerja dah siap." "Dia takde baru tenang rasanya."

Kisah yang pertama berkisar mengenai baita'ur ridwan. Rasulullah SAW dan para sahabat dalam perjalanan ke kota Mekah untuk mengerjakan haji buat pertama kalinya. Namun sebelum memasuki kota Mekah, Saidina Uthman RA diutuskan bagi membuat rundingan dan selama pemergian beliau, tersebar khabar angin bahawa beliau telah dibunuh. Maka para sahabat telah bersumpah setia (bai'ah) bagi memerangi musyrikin Mekah. Peristiwa baiah itu diredhai Allah seperti mana firmannya maka digelar sebagai Bai'atur ridwan. Tidak terhenti dengan imbalan redha Allah, mereka yang jumlahnya dikatakan kurang lebih 1500 itu diberikan sesuatu yang lain - ketenangan.

Di dalam kisah yang kedua, kisah epik persahabatan sejati, Sang Kekasih Yang Terpilih diburu musyrikin Mekah, lalu beliau lari hingga tiba ke sebuah gua, bertemankan rakannya Yang Benar. Tatkala hati gusar takut ditemui musuh, lalu bersabda sang Kekasih kepada sahabatnya- Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." Imbalan yang juga datang sesudah itu - ketenangan.

Dulu sewaktu  belajar, diimpikan kerja yang elok, duit untuk dibelanja dan menyara diri. Kini semua telah diperolehi. Tapi waktu belajar yang dahulunya pernah berkongsi makanan, duit yang selalu tiada di tangan, duduk di bilik sahaja tanpa hiburan - selalu aku rasakan ketenangan.

Kini walaupun dunia terhampar di hadapan, rasa perit kerap muncul entah dari benua mana datangnya. Kini aku tahu signifikan kedua ayat yang tersebut di atas. Walau memiliki dunia dan sekalian isinya, memiliki ketenangan itu belum pasti.

Dari kisah gua disebut "maka Allah menurunkan ketenanganNya." Dinisbahkan ketenangan itu dengan pemiliknya. Justeru jika mahu ketenangan, pinta pada empunya ketenangan itu. Ku mohon Ya Rabb.


Monday, May 07, 2012

Tak Lekang Oleh Waktu

Perihal kebaikan yang datang
Kebaikan itu pantas menyentuh aku
Sentuhan yang membuat aku terhutang
Sentuhan itu juga mengusik kalbu

Barangkali ia kebaikan yang sedikit
Namun besar nilainya di sisi aku
Resah, gusar, pedih dan sakit
Lantas aku tenang, hanya kerna kebaikan yang sedikit itu

Maka masakan mampu aku lupa
Pada kebaikan yang sifatnya sebegitu
Tak terbeli walau digadai dunia seisinya
Tak tertebus meski sampai hujung waktu

Kerana itu aku menjual janji
Selalu aku berdoa semoga sentiasa dipelihara Ilahi
Juga segala kudrat yang ada bila dipinta akan aku beri
Moga dengannya terbayar kebaikan yang pernah aku rasai

Masih panas rasanya di dalam dada
Walau hari-hari itu sudah lama berlalu
Kesan tangan peribadi yang baik dan mulia
Kekal ia dalam ingatan tak lekang oleh waktu.


Tuesday, April 24, 2012

Monolog

Menjadi kuat...
Bukan sahaja diri sendiri, malah kepada yang lain
Kuatnya diri menjadi kekuatan kepada yang lain.

Tapi, bila sendiri tidak lagi kuat
Tiada yang lain dapat dipaut
Kerana diri  sendiri adalah tempat selalu dipaut
Tinggallah sendiri
Pedih...

Thursday, April 19, 2012

Selamat Hari Jadi dan Wasiat Untuk Diri

Tanggal 17 April 2012...
Selamat hari jadi Noor!
Semoga sentiasa diberkati Ilahi
Usia bertambah, semakin hampir dengan mati
Sentiasa ingat dan jangan lupa, pada Allah dan Nabi

Juga kena selalu gembira
Hidup hanya sekali sahaja
Bersedih menutup sekalian pintu bahagia
Baca buku, basuh kain, bermalas-malas, mesti dengan hati yang gembira

Usah pernah berharap belas ehsan manusia
Berharap pada diri sendiri, jarang kecewa
Jangan mudah sakit hati dan jangan cepat terasa
Jangan hipokrit untuk jaga hati orang, sebab kat rumah ko duduk sorang, hati ko tiada siapa nak jaga.

Kerja rajin-rajin, elok-elok dan sepenuh hati
Rezeki dan kemuliaan datang dari Ilahi
Sehebat mana pun orang, tiada yang mampu bagi rezeki
Ikhlaskan hati, insyaAllah, tak runsing, tenanglah hati

Jangan risau pasal jodoh dan kahwin
Semua dah tertulis, kalau bukan jodoh tetap tak kahwin
Orang sibuk suruh terus mencari
Katakan, alang-alang nak ambil berat, minta buatkan kenduri sekali :P

Tambah ilmu dan sentiasa merendah diri
Takabur pakaian Tuhan, tak guna meninggi diri
Orang menyampah, Tuhan pun benci
Macam selalu ko nampak, ko menyampah dan ko pun benci

Sentiasa jaga kesihatan
Jaga segala yang ko minum dan juga yang ko makan
Jangan lalai bersenam dan bersukan
Badan yang sihat, antara sebaik-baik nikmat dan kurniaan.

Ya Allah, aku tinggalkan diri ini, moga terus dipeliharakan
Ku mohon ketenangan juga kekuatan
Ku akhiri dengan selawat dan salam ke atas Rasul junjungan
Dan segala pujian yang tertentu hanya bagiMu, Tuhan yang menguasai hari pembalasan.

Thursday, April 05, 2012

Kisah rindu

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibubapanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya." (HR Bukhari dan Muslim )

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda, "Bilakah dapat aku bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan). Berkata sahabat "Bukankah kami ini ikhwanMu Ya Rasulullah." Sabda Baginda "Adapun kalian sahabatku, ikhwanku adalah segolongan orang dari umatku yang tidak pernah melihatku, namun mereka beriman denganku dan membenarkan aku (Dalailun Nubuwah, Imam Al-Baihaqi)

Aku rindu...

Wednesday, March 28, 2012

The Story of Reward

Life is tiring with everyday chores
I feel jaded, and everyday it grows
Then our road crossed, thus the story rolls
We are then bound, so are our souls

But I do fear
I still long the memory of yesteryears
Not a pleasant story to tell neither for others to hear
Just to note, it was at the expense of few tears

Anyway, every single day I pray
So I wont hurt with what I do or what I say
Till the day our hair turns grey
Allahumma, hear me and let this stay.

Sunday, March 18, 2012

Kemanusiaan dan Adik Dirang

Berita pembunuhan Nurul Nadirah menggemparkan Malaysia. Hati mana yang tidak tersentuh dan jiwa mana yang tidak diselubungi kemarahan bila terdengar berita yang menyayat hati itu. Diculik, dibunuh dan dibakar, tidak tergambar betapa kejamnya perbuatan seumpama itu.

Keganasan ke atas kanak-kanak pastinya sesuatu yang tidak dapat aku terima, meskipun atas nama mendidik. Kekerasan walaupun boleh digunakan, ia ada hadnya. Aku tahu apa rasanya bila dipukul atas sebab yang aku sendiri tidak tahu kenapa. Aku tahu rasanya dikeroyok atas kesilapan yang aku lakukan hanya kerana aku kanak-kanak. Aku tahu rasanya bila berhadapan dengan kuasa yang tidak mampu aku lawan dan hindar melainkan dengan berdendam dan menangis. Aku juga tahu makna kata-kata kesat yang dilontarkan, dan mereka sangka aku tidak tahu hanya kerana aku kanak-kanak. 

Pesalah-pesalah keganasan barangkali disogok dengan keganasan sedemikian rupa pada zaman kecil mereka Janganlah berselindung atas nama mendidik demi menghalalkan keganasan ke atas kanak-kanak. Allahumma semoga kemanusiaan kekal di dalam jiwa-jiwa manusia. Semoga adinda Nurul Nadirah dikurniakan sebaik-baik tempat di sana.
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat; mereka itulah orang-orang yang lalai (Surah Al-A'raf: 179)